Hakisan tebing jalan Masjid Tanah-Lubok Cina semakin serius

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER LIMAU 5 Mac – Hakisan laluan air di bawah jalan di Kilometer 40, Jalan Masjid Tanah-Lubok Cina di Kampung Ramuan Cina Kecil, di sini semakin membimbangkan.

Penduduk kampung itu melahirkan kebimbangan mereka terhadap aspek keselamatan pengguna jalan raya terancam setiap kali melalui jalan berkenaan berikutan hakisan semakin melebar sejak sebulan lalu.

Rustam Ma’ali, 33, berkata hakisan berkenaan dipercayai berpunca akibat hujan lebat di bahagian hulu laluan air berkenaan pada Disember dan Januari lalu.

“Di bawah jalan itu ada laluan air dari sebelah hulu dan apabila hujan lebat, air menjadi deras serta menghakis tebing, sekali gus menyebabkan jalan runtuh perlahan-lahan.

“Keadaan menjadi semakin teruk apabila jalan itu digunakan kenderaan berat, terutama treler dari Bandaraya Melaka ke Negeri Sembilan.

“Saya amat bimbang penduduk kampung dan pengguna jalan raya ditimpa kemalangan ketika melalui laluan yang berbahaya itu,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan hari ini.

Seorang lagi penduduk, Abdul Karim Md Ali, 62, pula meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan kerja pembaikan segera bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terpelihara.

Sementara itu, Jurutera JKR Daerah Alor Gajah, Ir Mohd Haidir Haron berkata, pegawai JKR sudah melakukan siasatan kejadian itu dan mendapati hakisan berpunca daripada aliran air yang terlalu banyak ketika hujan lebat.

“Sebagai langkah jangka pendek, JKR sudah meletakkan papan tanda amaran dan penghadang jalan di kawasan jalan yang mengalami hakisan di bahagian bawah jalan.

“Selain itu kami sudah memasang kanvas pada permukaan jalan raya yang mengalami hakisan bagi mengelakkan runtuhan semakin melebar,” katanya.

Beliau berkata, bagi langkah jangka panjang, JKR akan menawarkan sebut harga kerja pembaikan hakisan tebing tidak lama lagi dan kerja pembaikan oleh kontraktor, dijangka dimulakan April ini.

Sehubungan itu, beliau meminta pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika melalui jalan berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1148
Kongsi :
Previous post Ladang sawit di Sabah mampu beri pulangan menguntungkan buat Melaka – KM
Next post Banjir di Terengganu pulih, mangsa di Kelantan berkurangan
Ubah saiz-+=