Hanya 100 jemaah di masjid, 50 di surau dibenar solat Jumaat di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 20 Mei. – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) membatalkan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti solat jemaah dan program pengimarahan mengikut kapasiti masjid dan surau dan menguatkuasakan ketetapan baharu susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 di negeri ini.

Pengarahnya Datuk Che Sukri Che Mat berkata, ketetapan baharu yang berkuatkuasa hari ini hingga 7 Jun hanya membenarkan solat berjemaah dengan kehadiran maksimum 20 jemaah bagi masjid dan 10 jemaah bagi surau termasuk pegawai dan jawatankuasa kedua-duanya.

Katanya, bagi pelaksanaan solat Jumaat di masjid, jumlah maksimum jemaah dibenarkan adalah 100 orang termasuk pegawai dan jawatankuasa.

“Bagi surau Jumaat pula, maksimum 50 jemaah termasuk pegawai dan jawatankuasa surau dibenarkan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini, di sini hari ini.

Che Sukri berkata bagi pelaksanaan solat jenazah, hanya 20 jemaah termasuk pegawai masjid dan waris dibenarkan di masjid dan 10 jemaah di surau.

Beliau berkata, setiap jemaah yang hadir juga diwajibkan membawa sejadah bersaiz besar/standard.

“Aktiviti lain dibenarkan di masjid adalah singgah solat manakala aktiviti pengimarahan seperti ceramah, bacaan Yasin dan tahlil, bengkel dan kursus serta penganjuran majlis ditangguhkan.

“Sementara, kebenaran bagi majlis akad nikah di masjid dan surau ditentukan oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) berkaitan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

542
Kongsi :
Previous post 18 ahli sindiket seleweng besi perancah bernilai RM1.4 juta ditahan
Next post Affin terus tawar bantuan kewangan, pelepasan bayaran ansuran hingga Jun 2021
Ubah saiz-+=