18 ahli sindiket seleweng besi perancah bernilai RM1.4 juta ditahan

0
443
ABDUL Majid (tengah) bersama Ketua JSJK, Superintendan E Sundra Rajah dan Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan melihat besi perancah di dalam treler yang dirampas.

JASIN 20 Mei. – Polis Melaka menumpaskan sindiket pecah amanah membabitkan pekerja syarikat pemasangan besi perancah dengan nilai kerugian bernilai RM1.4 juta susulan penahanan 18 individu semalam.

Operasi dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri menahan 15 lelaki dan tiga wanita berusia antara 19 hingga 61 tahun yang bekerja di dua syarikat kontraktor membekal dan memasang perancah.

Ketua Polis Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata pihaknya menerima laporan daripada sebuah syarikat kontraktor yang mengesyaki berlaku penyelewengan oleh pekerja syarikat terhadap peralatan besi perancah milik syarikat terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati syarikat berpangkalan di Sri Hartamas, Kuala Lumpur itu mendapat dua kontrak membekal dan memasang besi perancah di sebuah tapak projek di kawasan Sungai Udang dua tahun lalu.

ANTARA besi perancah ditempatkan dalam treler yang dirampas pihak polis.

“Siasatan awal mendapati selepas projek berkenaan tamat, syarikat berkenaan mengambil semula kesemua besi perancah besi yang dipasang di projek terbabit untuk dibawa pulang.

“Bagaimanapun, selepas proses audit dalaman dilakukan, pihaknya mendapati sebanyak 335 tan peralatan perancah besi bernilai RM1.4 juta telah berkurangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, susulan kejadian itu pihaknya menubuhkan dua pasukan khas untuk menjejaki sindiket yang terbabit dalam kehilangan besi perancah itu.

Katanya, hasil siasatan dan risikan, pihaknya mengenal pasti dua lokasi di Pahang dan Terengganu yang menjadi tempat simpanan perancah terbabit.

“Dua serbuan dilakukan di stor simpanan di Gebeng, Pahang dan Paka, Terengganu semalam dan menemui 50,818 unit besi perancah atau 250 tan dianggarkan bernilai RM900,000.

“Lima treler yang digunakan mengangkut semua besi perancah yang dirampas sudah berada di sini manakala tujuh lagi (treler) masih dalam perjalanan ke sini dan kita masih mengesan saki-baki besi perancah yang hilang,” katanya.

Menurut Abdul Majid, dalam serbuan itu pihaknya menahan 18 pekerja daripada dua syarikat kontraktor dipercayai terbabit dalam kegiatan penyelewengan itu.

“Kita sudah mengenal pasti dalang utama sindiket itu dan sedang menjejaki suspek serta mengesan saki-baki individu yang terbabit,” jelasnya.

Beliau berkata semua suspek direman sehari sehingga esok untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.