Harga minyak masak botol meningkat
LENDU 7 Jun – Harga minyak masak botol lima kilogram (kg) di daerah ini meningkat kepada antara RM33 hingga RM33.50 berbanding antara RM24.50 hingga RM27.50 sebelum ini.
Harga minyak masak botol dua kg pula naik kepada antara RM12 hingga RM12.50 berbanding antara RM9 hingga RM10 sebelum ini.
Kenaikan itu dikesan berlaku sejak beberapa hari lalu, dipercayai berikutan kenaikan harga minyak sawit di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Tinjauan di beberapa kedai runcit dan pasar raya di sini mendapati harga berkenaan naik sejak beberapa hari lalu yang didakwa peniaga sebagai berpunca daripada pemborong.
Peniaga kedai runcit yang hanya ingin dikenali sebagai Fitri berkata, dia agak terkejut apabila pemborong yang dihubungi untuk mendapatkan bekalan minyak masak tiga hari lalu memaklumkan harga bahan masak itu sudah naik.
“Pesanan minyak masak hanya dibuat dua kali sebulan bergantung kepada stok yang masih ada di kedai dan kali ini pemborong memaklumkan bahawa harga sudah naik.
“Pemborong memberi alasan pengilang minyak masak menaikkan harga kerana harga minyak sawit yang melambung di pasaran tempatan dan antarabangsa sekarang,” katanya ketika ditemui di kedainya hari ini.
Bagaimanapun, tinjauan di Malakat Mall, iaitu pasar raya milik Bumiputera yang baharu beroperasi empat bulan di pekan ini mendapati harga minyak masak lima kg tidak naik.
Harga bahan masak itu bagi jenama ‘Hafeez’ kekal RM24.50 manakala jenama ‘Dian’ RM27.50.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, kerajaan hanya mengawal harga minyak masak paket satu kg tetapi tidak berbuat demikian pada minyak masak botol.
“Harga minyak masak botol dua hingga lima kg bergantung kepada harga pasaran minyak sawit mentah dunia dan kos lain yang menyumbang kepada penentuan harga runcit seperti kos operasi, bahan mentah dan pembungkusan.
“Bagaimanapun, KPDNHEP mengambil maklum perkara ini dan sudah mengeluarkan notis bagi mendapatkan maklumat mengenai kenaikan itu,” katanya.
Beliau berkata, tindakan proaktif juga dilaksanakan bagi memastikan hak pengguna dijaga seperti merekodkan harga minyak masak botol secara harian.
Katanya, pengguna yang ingin mendapatkan minyak masak perlu mendapatkan maklumat melalui ‘price catcher’ bagi membuat perbandingan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengguna supaya tidak membuat pembelian panik kerana bekalan minyak masak di negeri ini stabil.
Pengguna boleh membuat aduan mengenai isu kenaikan harga barangan keperluan asas melalui panggilan di talian 06-2345822 atau aplikasi WhatsApp (019-2794317).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.