Harga rumah serendah RM90,000 ditawarkan di MAPEX kali ke-2 2023
BANDARAYA MELAKA 4 November – Ekspo Perumahan dan Hartanah Negeri Melaka (MAPEX) kali ke-2 2023 yang diadakan bermula 31 Oktober hingga 5 November ini menawarkan harga kediaman serendah RM90,000.
Pengerusi Penganjur MAPEX kali ke-2 2023, Datuk Ngoh Chun How berkata, sebanyak 3,874 unit hartanah pelbagai jenis bernilai lebih RM1.4 bilion ditawarkan pada ekspo yang berlangsung di Pusat Beli-belah Aeon Bandaraya Melaka.
Katanya, ekspo tersebut membabitkan 24 gerai pameran termasuk daripada Pelaburan Hartanah Berhad dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
“Penganjuran MAPEX kali ke-2 2023 ini akan melibatkan sebanyak 54 projek pembangunan di Melaka dan satu di Sepang, Selangor. Ekspo kali ini kita tawarkan 2,391 kediaman di Melaka Tengah, 438 di Jasin dan 377 unit di Alor Gajah, selain turut ditawarkan 668 unit hartanah di Sepang dengan kesemua hartanah ini bernilai RM1.41 bilion.
“Antara kediaman yang menarik ditawarkan pada ekspo kali ini melibatkan rumah menggunakan tenaga solar, rumah teres berkonsepkan ciri Melayu tradisional, rumah satu tingkat, banglo, apartment dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian MAPEX kali ke-2 2023 yang dirasmikan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin yang mewakili Ketua Menteri Melaka.
Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Allex Seah Shoo Chin dan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Mohd Salleh Hamidom.
Mengulas lanjut, Chun How berkata pihaknya menyasarkan 20,000 pengunjung ke ekspo yang berlangsung selama enam hari itu.
“Saya galakkan orang ramai ambil peluang untuk menjelajahi setiap sudut pameran dengan teliti, berbincang dengan pemaju dan pegawai institusi kewangan Bank Simpanan Nasional.
“Bagi penduduk Melaka yang belum milik rumah, digalakkan mengambil peluang membeli rumah idaman menerusi pengecualian duti setem yang bakal berakhir pada 31 Disember depan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.