32 pasukan berentap rebut Governor Cup, Toh Puan Cup

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 4 November – Sebanyak 32 pasukan bakal berentap bagi merebut trofi kejuaraan siangan Governor Cup dan Toh Puan Cup 2023 bermula 11 November ini.

Governor Cup iaitu saingan liga bola sepak yang memasuki edisi kedua tahun ini bakal menampilkan aksi 16 pasukan, manakala Toh Puan Cup yang julung kali diperkenalkan pula merupakan saingan liga bola jaring yang juga menampilkan 16 pasukan.

Pengerusi Pertandingan Datuk Wira Nur Azmi Ahmad berkata, kejohanan itu bukan sahaja bertujuan menggilap bakat sukan di negeri ini, bahkan ia juga menjadi medan untuk Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman bersama rakyat dalam acara sukan.

Beliau berkata, selepas melihat kejayaan edisi sulung Governor Cup tahun lalu, pihaknya terpanggil untuk memperkenalkan satu lagi kategori sukan iaitu bola jaring menerusi Toh Puan Cup memandangkan Toh Puan Asmah juga merupakan peminat sukan.

“Jika diikutkan lebih banyak pasukan mahu menyertai kejohanan ini, namun kita hanya memilih 16 pasukan bagi setiap piala dan insya-Allah jika sambutan lebih menggalakkan, kita akan menampilkan lebih banyak pasukan tahun depan.

“Selain itu, memandangkan Toh Puan juga merupakan peminat sukan badminton, kita juga bercadang untuk memperkenalkan kejohanan badminton pada edisi tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Kejohanan Liga Bola Sepak Piala Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam ‘Governor Cup’ Edisi Kedua Tahun 2023 dan Liga Bola Jaring Piala Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Hajah Asmah Binti Haji Abd Rahman Edisi Pertama 2023 di Taman Seribu Bunga, di sini, malam tadi.

Terdahulu, lafaz perasmian kejohanan tersebut telah disempurnakan Tun Mohd Ali dan turut dihadiri Toh Puan Asmah.

Img 20231104 013530
TOH Puan Asmah menyampaikan cenderahati kepada pengurus pasukan bertanding pada kejohanan Governor Cup dan Toh Puan Cup 2023.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia Datuk Wira Hamidin Mohd Amin dan lain-lain kenamaan.

Menurut Nur Azmi, kedua-kedua kejohanan itu bakal mempertaruhkan hadiah keseluruhan berjumlah RM40,000.

Katanya, bagi Liga Bola Sepak Governor Cup, sebanyak empat lokasi dipilih menjadi venue kejohanan iaitu Stadium Hang Tuah, Stadium Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Sekolah Sukan Negeri (SSN) Seri Kota dan Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang.

Manakala, aksi bola jaring Toh Puan Cup pula berlangsung di Taman Seribu Bunga yang bertujuan mempromosikan taman berkenaan sebagai antara destinasi menarik untuk pelancong datang ke Melaka.

“Perlawanan akhir bagi kedua-dua kejohanan dijangka akan diadakan pada 1 Januari 2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1277
Kongsi :
Previous post Melaka galak pemaju aplikasi teknologi hijau dalam pembinaan kediaman
Next post Harga rumah serendah RM90,000 ditawarkan di MAPEX kali ke-2 2023
Ubah saiz-+=