Sorting by

×

Melaka galak pemaju aplikasi teknologi hijau dalam pembinaan kediaman

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDARAYA MELAKA 3 November – Kerajaan Negeri menggalakkan semua pemaju perumahan untuk mengaplikasi teknologi hijau dalam setiap sektor pembinaan ke arah pembangunan sosioekonomi lestari di Melaka.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin turut menyeru supaya mereka melabur dalam teknologi baharu pembinaan rumah.

Katanya, ia kerana telah ada kilang bahan binaan Rumah Mampu Milik (RMM) yang dapat dipasang dengan cepat dan mengurangkan kos pembinaan.

“Sebagai contohnya, pemaju boleh bangunkan premis kediaman dengan pemasangan panel solar termasuk di premis perniagaan yang bersesuaian.

“Pemaju perumahan kini bukan hanya sekadar menyediakan rumah sahaja tetapi juga perlu bertanggungjawab dalam membangunkan rumah yang berkualiti, berinovatif dan mesra alam mengikut peredaran masa serta keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sekali gus merasmikan Majlis Perasmian Ekspo Perumahan dan Hartanah Melaka (MAPEX) kali ke-2 2023 mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Allex Seah Shoo Chin; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Mohd Salleh Hamidom dan Pengerusi Penganjur MAPEX kali ke-2 2023, Datuk Ngoh Chun How.

Mengulas lanjut, Zulkiflee kolaborasi dan kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan pihak berkepentingan industri, dapat mengatasi cabaran dalam sektor perumahan dan hartanah di negeri ini.

“Jalinan kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan pihak berkepentingan termasuk pemaju, profesional sektor hartanah dan organisasi masyarakat menerusi bengkel atau dialog secara berkala dapat membantu mengenal pasti model baharu,idea, kekangan dan penyelesaian untuk mengatasi cabaran yang berkaitan dengan aksesibiliti perumahan, kelestarian dan kualiti,” katanya.

Untuk rekod ekspo yang berlangsung selama enam hari bermula 31 Oktober hingga 5 November ini menawarkan sebanyak 3,874 unit hartanah dengan harga jualan serendah RM90,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3956
Kongsi :
Previous post Lelaki ditemui mati dalam kereta di tepi jalan
Next post 32 pasukan berentap rebut Governor Cup, Toh Puan Cup
Ubah saiz-+=