Harga siling ayam mentah dijangka tamat – KPDNHEP

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

REMBIA 30 Julai – Penetapan harga siling ayam mentah dijangka bakal ditamatkan tidak lama lagi, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Azman Mohd Yusof berkata ia merupakan antara mekanisme yang dibincangkan selepas pelaksanaan harga siling RM9.40 sekilogram di Semenanjung Malaysia tamat pada 31 Ogos.

Katanya, pertimbangan itu dibuat susulan bekalan ayam di negara ini semakin stabil di pasaran berbanding sebelum ini.

“Sebelum ini bekalan ayam tidak cukup dan ia menyebabkan tekanan pada harga. Oleh sebab itu, kerajaan melihat bebanan kepada rakyat dan memperkenalkan harga siling ayam RM9.40.

“Selepas kita perkenalkan harga siling itu dan kebenaran import ayam, kita melihat akhirnya ayam-ayam di pasaran semakin banyak dan ayam yang dahulunya kecil dan sakit kini sudah tiada isu lagi.

“Kebanyakan ayam yang ada sekarang boleh dikatakan sudah melebihi dua kilogram seekor dan kebanyakan tempat juga sudah mula menjual dengan harga yang lebih murah iaitu sehingga RM6.99 sekilogram,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke sebuah kilang pembuatan mainan kanak-kanak di kawasan perindustrian Alor Gajah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem; Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam dan Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar.

Dalam pada itu, Azman berkata, kerajaan juga dijangka mempertimbangkan semula kebenaran untuk mengeksport ayam bulat ke luar negara susulan berlaku lambakan ayam pada ketika ini.

Bagaimanapun katanya, keutamaan akan diberikan kepada bekalan dalam negara bagi mengelakkan isu bekalan terjejas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1434
Kongsi :
Previous post Kebun kerang Melaka miliki potensi besar
Next post Harga minyak masak botol turun serendah RM29
Ubah saiz-+=