Hargai jasa peladang, penternak dan nelayan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 16 Julai – Kerajaan negeri mensasarkan 10,000 pengunjung akan singgah ke sambutan Hari Peladang, Penternak, dan Nelayan Negeri Melaka (HPPNM) tahun 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), selama tiga hari berakhir esok.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata HPPNM bertemakan Pertanian Pemangkin Ekonomi Keluarga Malaysia itu membabitkan 92 penyertaan dalam kalangan petani, peladang dan penternak seluruh negeri Melaka.

Katanya, program selama tiga hari itu turut menyasarkan nilai jualan sebanyak RM 1.5 juta.

“HPPNM ini bertujuan untuk menghargai dan meraikan segala titik peluh dan sumbangan warga peladang, penternak dan nelayan dalam menghasilkan rezeki disamping meningkatkan pertumbuhan ekonomi di Melaka.

“Mereka ini tulang belakang kepada ekonomi Keluarga Malaysia dan jasa mereka tidak dipandang rendah malah perlu diangkat tinggi dalam usaha memastikan kelestarian bekalan makanan.

“Merujuk laporan sosioekonomi negeri Melaka, sektor pertanian negeri Melaka telah mencatatkan kadar peningkatan sebanyak RM4.6 bilion dan menyumbang sebanyak 11.6 peratus dalam keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Melaka.

“Rekod itu juga telah mengangkat Melaka di kedudukan pertama yang mencatatkan pertumbuhan positif tertinggi bagi sektor pertanian diikuti oleh Johor sebanyak 3.1 peratus, Pahang 1.6 peratus dan Perak 1.4 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Perasmian HPPNM di MITC hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 (MAFI) Datuk Seri Ahmad Hamzah, EXCO Kanan Perindustrian, Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan EXCO Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta kenamaan lain.

PEMENANG pertandingan anjuran jabatan dan agensi pertanian bergambar bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Pada majlis sama 16 pemenang menerima hadiah menerusi pertandingan-pertandingan anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Insititut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutan (FAMA).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1804
Kongsi :
Previous post Polis tahan lelaki disyaki curi barang kemas
Next post MySejahtera: Kemaskini terbaharu bantu pengguna lihat, pantau tahap kesihatan
Ubah saiz-+=