Hargai pekerja pembersihan dalam Keluarga Malaysia

0
519
SLOGAN Keluarga Malaysia perlu diterjemahkan dengan turut mengangkat peranan pekerja barisan hadapan khususnya dalam sektor pembersihan.

DUYONG 18 Sept – Slogan Keluarga Malaysia perlu diterjemahkan dengan turut mengangkat peranan pekerja barisan hadapan khususnya dalam sektor pembersihan.

Pengerusi Pertubuhan Pembela Klebang Besar, Datuk Mohd Yusof Abu Hasan, ini kerana kumpulan itu sering terlepas pandang daripada mendapat pengiktirafan mahupun perhatian berbanding ‘frontliner’ kesihatan.

“Saya percaya, inilah yang dimaksudkan slogan Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tanpa kita meminggirkan peranan sesiapa sahaja.

“Bayangkan tanpa pemotong pokok, pengutip sampah mana mungkin kawasan menjadi bersih membolehkan kita sihat seperti dinikmati hari ini. Sebab itu mereka ini juga sebenarnya adalah wira dan wirawati negara,” katanya.

YUSOF (dua dari kiri) memperkatakan sesuatu kepada Abidullah (dua dari kanan) ketika meninjau tugas pemotong rumput di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit semalam.

Beliau berkata demikian ketika selepas menyampaikan bantuan kit makanan kepada 15 pekerja pembersihan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit di sini semalam.

Hadir sama Ahli Majlis merangkap Ketua Whip MBMB Datuk Abidullah Salleh.

Sementara itu, Abidullah turut berterima kasih kepada pekerja golongan berpendapatan rendah (B40) itu yang sentiasa komited melaksanan tugas.

YUSOF (dua dari kanan) menyampaikan kit bantuan makanan kepada 15 pekerja pembersihan MBMB.

“Di pihak MBMB, saya akan sentiasa membantu kumpulan ini terutamanya memastikan peralatan yang digunakan mencukupi khususnya bagi melindungi keselamatan diri ketika bertugas.

“Peranan mereka amat besar khususnya di waktu pandemik ini kerana mereka bukanlah kumpulan yang boleh bekerja di rumah seperti penjawat awam lain demi memastikan Melaka sentiasa bersih untuk menerima kedatangan pelancong tidak lama lagi,” katanya.

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.