Hari Sukan Negara Melaka perkasa aktiviti rekreasi pasca COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

LENDU 8 Oktober – Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) berlangsung serentak seluruh negara hari ini mampu memperkasa aktiviti sukan dan rekreasi sebelum ini terbatas akibat penularan pandemik COVID-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, Kerajaan Negeri bergerak seiring dengan hasrat Kerajaan Pusat yang kini berada pada landasan untuk memberikan tumpuan kepada pemulihan ekonomi sukan dan rekreasi pasca COVID-19.

“Langkah proaktif diambil kerajaan akan diteruskan dengan kesinambungan program etnik seperti ‘Fit Malaysia’ dan ini sekali gus akan mengiktiraf penglibatan aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup rakyat Malaysia.

“Alhamdulillah, penganjuran pada hari ini menunjukkan sambutan yang hebat rakyat Negeri Melaka. Secara tidak langsung menunjukkan ramai yang aktif dalam sukan yang menjadikan minda lebih sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan pelepasan ‘Fun Run’ pada HSN Peringkat Negeri Melaka 2022 di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, hari ini yang dihadiri lebih 1,000 pengunjung.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari, Exco Pembangunan Belia dan Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam, Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Ngwe Hee Sem, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Adun Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin.

Terdahulu, HSN Melaka yang dijadual berlangsung selama tiga hari bermula semalam, menawarkan pelbagai aktivti sukan menarik seperti seni bela diri silat, wushu dan silambam, memanah serta futsal.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2401
Kongsi :
Previous post VSN2030 perancangan baharu pembangunan sukan negara
Next post Bajet 2023 mesra kaum hawa, OKU
Ubah saiz-+=