Harimau didakwa berkeliaran di Kemensah Heights masih belum ditemui

Masa Membaca:58 Saat

KUALA LUMPUR 21 Mei – Polis dan Renjer Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) meningkatkan rondaan di Kemensah Height, Hulu Klang susulan dakwaan terdapat seekor harimau berkeliaran di kawasan tersebut sebagaimana mesej tular.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata rondaan di kawasan sekitar mendapati pihaknya tidak melihat kelibat haiwan berkenaan yang didakwa kali terakhir dilihat berhampiran tiang lampu di Jalan Tropika, Kemensah 3.

Katanya pihaknya turut mendapatkan bantuan Renjer Perhilitan Selangor pada jam 4 petang semalam bagi mengesan harimau berkenaan.

“Bagaimanapun tiada maklumat lengkap diperoleh dan pasukan Perhilitan masih berada di lokasi untuk mengesan harimau itu.

“Pihak Zoo Negara juga mengesahkan tiada kes harimau terlepas daripada zoo terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini, lapor The Vibes.

Mohamad Farouk berkata pihaknya melakukan siasatan lanjut berikutan mengesan mesej berhubung dakwaan terserempak dengan haiwan liar itu di aplikasi WhatsApp semalam.

“Siasatan turut mendapati pengawal keselamatan yang mendakwa melihat haiwan terbabit adalah warga asing dan bertugas sementara di kejiranan tersebut.

“Setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat lanjut berhubung pengawal keselamatan tersebut serta tiada laporan polis dan saksi tampil untuk memberi keterangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1928
Kongsi :
Previous post LRT Kelana Jaya tergendala akibat masalah brek, pengguna terjejas boleh tebus kupon
Next post KKM tidak cadang lanjut vaksinasi PICKids
Ubah saiz-+=