‘HEBAT’ JAMBATAN BANTU RAKYAT DALAM KESUSAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

PAYA RUMPUT 28 Julai – Program Hari Exco Bertemu Rakyat Negeri Melaka (HEBAT) terus membuktikan peranannya sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan apabila membantu memudahkan urusan golongan yang berdepan kesukaran mendapatkan bantuan serta menyelesaikan pelbagai isu kehidupan.

Bagi Mohd Razuan Amid, 56, dari Taman Bertam Jaya, kehadiran ke Program HEBAT sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput membawa sinar baharu untuk dirinya selepas melalui pelbagai ujian hidup.

Dia berkata, kehidupannya berubah selepas kehilangan upaya ketika berusia 17 tahun sebelum sekali lagi diuji apabila menjalani pembedahan jantung dua tahun lalu, sekali gus menyebabkan dia tidak lagi mampu bekerja dan kehilangan sumber pendapatan tetap.

Menurutnya, keadaan itu turut menyukarkan beliau menjelaskan cukai taksiran rumah sehingga menerima notis tindakan sita.

“Dahulu saya berniaga, tetapi sekarang sudah tidak mampu bekerja. Isteri dan anak-anak juga sudah tidak bersama saya, jadi memang banyak perkara yang perlu saya hadapi seorang diri.

“Saya datang ke Program HEBAT ini untuk mendapatkan bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan membawa dokumen serta surat sokongan yang diperlukan.

“Alhamdulillah, urusan saya dipermudahkan. Exco yang hadir banyak membantu dan saya juga amat berterima kasih kepada penjawat awam yang bertugas kerana membimbing saya dari satu kaunter ke satu kaunter sehingga segala urusan dapat diselesaikan dengan lebih mudah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, Nurul Aini Muhammad Rasul, 37, dari Sungai Udang turut meluahkan rasa syukur apabila permohonannya mendapatkan bantuan untuk keluarganya dipermudahkan menerusi program berkenaan.

Dia yang hadir bersama kakak ipar memaklumkan menerusi HEBAT mereka telah mendapatkan khidmat nasihat daripada JKM berhubung bantuan yang layak diterima keluarganya.

“Ekonomi keluarga kami agak terjejas. Suami bekerja sebagai tukang kimpal dan pendapatannya terhad untuk menampung keperluan anak-anak yang semakin meningkat.

“Di sini kami dapat bertemu terus dengan Exco dan pegawai berkaitan. Segala urusan diterangkan dengan jelas dan proses permohonan juga menjadi lebih mudah,” katanya.

Nurul Aini berharap Program HEBAT diteruskan pada masa akan datang kerana inisiatif itu memberi peluang kepada rakyat mendapatkan bantuan dan menyelesaikan pelbagai urusan secara terus tanpa perlu melalui proses yang rumit.

“Program seperti ini sangat baik kerana ia benar-benar mendekatkan kerajaan dengan rakyat, khususnya mereka yang memerlukan bantuan dan bimbingan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

451
Kongsi :
Previous post MELAKA REKOD 30,000 BEG DARAH SETAHUN