MELAKA NEGERI PERTAMA LAKSANA INISIATIF TIANG FIBER GUNA SAMA

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

TABOH NANING 28 Julai – Melaka menjadi negeri pertama melaksanakan inisiatif Tiang Fiber Guna Sama yang membolehkan pelbagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi berkongsi satu kemudahan sama.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelaksanaan itu menjadikan Melaka sebagai perintis dan juga pelopor model baharu dalam pembangunan infrastruktur telekomunikasi.

Katanya, fasa pertama inisiatif menerusi Koridor Utiliti Melaka Sdn Bhd (KUM) itu disasarkan siap pada penghujung Ogos ini dan beroperasi pada suku keempat 2026.

“Apabila beroperasi kelak, kemudahan Tiang Fiber Guna Sama ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 1,260 orang penduduk melibatkan 315 premis kediaman di Taman Perling Impian.

“Pemilihan Taman Perling Impian ini sebagai lokasi pertama pelaksanaan projek ini amat bertetapan kerana sebagai sebuah perumahan baharu, pembangunan infrastruktur digital perlu dirancang lebih awal, sekali gus membolehkan konsep Tiang Fiber Guna Sama dilaksanakan secara lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Dan Perasmian Tiang Fiber Guna Sama Koridor Utiliti Melaka Sdn Bhd di Taman Perling Impian, Simpang Ampat, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkifli Mohd Zin dan Ketua Pegawai Eksekutif KUM, Ismael Hamdan.

Menurut Ketua Menteri, Kerajaan Negeri menyasarkan inisiatif sama diperluaskan ke seluruh Melaka supaya lebih banyak agar lebih ramai rakyat dapat merasai nikmat hasil daripada limpahan pembangunan dilaksanakan.

“Bagi meneruskan momentum ini KUM turut menyasarkan pembinaan sebanyak 1,000 Tiang Fiber Guna Sama ini diseluruh Melaka menjelang hujung tahun ini.

“Pelaksanaan ini dijangka melibatkan lebih 5,000 premis kediaman dan memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 penduduk,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

549
Kongsi :
Previous post ‘JIWA BESAR TOK RAUF BUAT KAMI RASA TIDAK TERSISIH’