‘JIWA BESAR TOK RAUF BUAT KAMI RASA TIDAK TERSISIH’

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

PAYA RUMPUT 28 Julai – Kehadiran kepimpinan tertinggi Kerajaan Negeri ke Kampung Bukit Datuk B atau lebih dikenali sebagai Kampung Kemboja menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat memberi makna besar kepada penduduk di kawasan itu.

Ia sekali gus membuktikan tiada golongan atau rakyat yang tersisih daripada menerima manfaat dan merasai arus pembangunan negeri.

Bagi bakal graduan Universiti Malaya, Nur Afifah Abd Halim, 23, kunjungan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke kampung yang didiaminya sejak kecil itu membuktikan keprihatinan seorang pemimpin yang sanggup turun sendiri mendekati rakyat.

Nur Afifah yang bakal menamatkan pengajian dalam bidang Usuluddin, pengkhususan Dakwah dan Pembangunan Insan di Akademi Pengajian Islam menyatakan rasa terharu apabila pemimpin tertinggi sendiri turun ke kampung itu dan membawa pelbagai berita gembira.

“Saya sangat terharu dan bangga kerana Ketua Menteri Melaka sendiri sudi turun padang sampai ke kampung kami. Walaupun kampung kami kecil sahaja, tetapi beliau tetap datang dan memberikan perhatian.

“Pada mulanya saya ingat mungkin wakil sahaja yang hadir, tetapi apabila melihat sendiri Ketua Menteri datang, duduk bersama penduduk dan menyampaikan sumbangan, saya lihat beliau seorang pemimpin yang sangat prihatin dan berjiwa besar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut generasi ketiga kampung itu, pengumuman pembinaan semula jalan utama Kampung Kemboja turut memberi kegembiraan besar kepada penduduk kerana laluan berkenaan bukan sahaja digunakan oleh komuniti setempat, malah menjadi laluan penting menghubungkan kawasan sekitar.

Katanya, masalah jalan rosak yang berulang sejak sekian lama menyebabkan penduduk beranggapan keadaan itu sukar berubah, namun pengumuman Kerajaan Negeri untuk menaik taraf jalan tersebut memberikan harapan baharu.

“Sejak kecil saya lihat jalan ini dibaiki, kemudian rosak semula. Jadi apabila Ketua Menteri datang dan mengumumkan jalan ini akan dibina baharu, saya rasa sangat bersyukur.

“Jalan ini bukan hanya digunakan penduduk kampung, tetapi ramai yang melalui jalan ini untuk ke Pulau Gadong dan bandar Melaka. Saya yakin peruntukan yang diberikan akan memberi manfaat besar kepada masyarakat,” katanya.

Nur Afifah berkata, pelbagai nikmat yang diumumkan Ketua Menteri juga menunjukkan bahawa komuniti yang hidup dalam suasana harmoni sejak puluhan tahun di kawasan itu tidak pernah dipinggirkan

Katanya, walaupun komuniti itu mempunyai latar sejarah tersendiri sebagai masyarakat berketurunan Champa, mereka tetap menjadi sebahagian daripada rakyat Melaka yang saling menghormati dan membantu.

“Bagi saya, melalui jelajah ini kami rasa diraikan dan dipandang. Kami bukan mahu lebih daripada orang lain, tetapi kami mahu hidup bersama-sama dalam suasana harmoni dan bahagia.

“Setakat apa yang saya lihat, masyarakat di sini sangat harmoni. Kami berniaga, bergaul dan saling membantu tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

565
Kongsi :
Previous post MANGSA BANJIR BERSYUKUR KERAJAAN NEGERI PRIHATIN