
MELAKA RIVER CRUISE, ZOO MELAKA BERGABUNG TAWAR PAKEJ SILANG MENARIK
BANDA HILIR 28 Julai – Melaka River Cruise terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara produk pelancongan ikonik negeri apabila menjalinkan kerjasama strategik bersama Zoo Melaka menerusi pelancaran bot bertemakan Harimau Malaya dan pakej promosi silang yang menawarkan pengalaman lebih menarik kepada pengunjung.
Inisiatif sempena Sambutan Hari Harimau Sedunia 2026 itu bukan sahaja memperkenalkan tarikan baharu di Sungai Melaka, malah menghubungkan dua destinasi pelancongan utama negeri menerusi tawaran diskaun khas kepada pengunjung.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris berkata, kolaborasi itu membolehkan pengunjung Melaka River Cruise menikmati potongan harga 10 peratus bagi pembelian tiket masuk ke Zoo Melaka melalui imbasan kod QR yang disediakan, tertakluk kepada syarat dan terma.
Katanya, pengunjung Zoo Melaka turut berpeluang menikmati diskaun bagi pembelian tiket Melaka River Cruise menerusi promosi silang yang diperkenalkan.
“Kerjasama ini adalah antara usaha memperkukuhkan jaringan produk pelancongan di Melaka supaya pengunjung dapat menikmati lebih banyak tarikan dalam satu perjalanan.
“Kita mahu mewujudkan pengalaman pelancongan yang lebih lengkap dan berharap lebih ramai pelancong dari dalam serta luar negeri mengambil peluang mengunjungi kedua-dua destinasi ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Pelancaran Bot Bertemakan Harimau Malaya di Jeti Melaka River Cruise, di sini, pada Isnin.
Menurut Shaharul Azuar, bot bertemakan Harimau Malaya itu merupakan penambahanbaikan terbaharu selepas kejayaan bot bertemakan zebra yang diperkenalkan sebelum ini dan menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung.
“Bot ini bukan sekadar mencantikkan pengalaman pelayaran di Sungai Melaka, malah turut membawa mesej kesedaran mengenai pemuliharaan Harimau Malaya yang menjadi khazanah negara,” katanya.
Beliau berkata, PPSPM akan terus memperluaskan kerjasama dengan pelbagai agensi dan pemain industri pelancongan bagi menghasilkan lebih banyak produk serta pakej berimpak tinggi.
Katanya, langkah itu diyakini mampu meningkatkan jumlah kehadiran pelancong sekali gus menyokong aspirasi Kerajaan Negeri menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan pilihan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Melaka 2026.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

