TANGIS SYUKUR NEK RAMLAH TERIMA RUMAH BAHARU RM70,000

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PAYA RUMPUT 28 Julai – Tangisan syukur Ramlah Sulaiman, 68 memecah keheningan di Kampung Bukit Datuk B, di sini, tatkala menerima kunjungan ziarah Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menerusi siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Ab Rauf bukanlah ‘datang kosong’, sebaliknya membawa khabar gembira kepada warga emas itu apabila memaklumkan bakal membina rumah baharu dengan peruntukan RM70,000 menerusi Program Melaka Rumahku.

Menurut Ramlah, rumah berusia lebih tiga dekad itu sudah uzur apabila dimamah anai-anai, selain kerangka bumbung tidak lagi selamat sehinggakan tukang bina rumah juga tidak mahu menanggung risiko menampal kebocoran.

Katanya, setiap kali hujan juga dia yang tinggal keseorangan sering diselubungi ketakutan kerana bimbang akan keselamatan rumahnya, selain terpaksa menadah besen bagi mengelakkan rumahnya dibanjiri air.

“Saya memang tak boleh nak cakap, terlalu terharu dan sedih apabila Ketua Menteri beritahu rumah saya akan dibina semula.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Ketua Menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin kerana membantu saya tinggal di rumah yang lebih selamat dan selesa selepas ini,” katanya dalam nada sebak kepada Melaka Hari Ini.

Menurut ibu tunggal empat anak itu, keprihatinan Ketua Menteri dan kepimpinan negeri menerusi siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat amat dihargai, kerana ia mencerminkan keprihatinan terhadap nasib rakyat.

Dia yang juga generasi pertama menetap di kampung yang turut dikenali sebagai Kampung Kemboja itu juga menyifatkan Ab Rauf sebagai pemimpin yang prihatin dan mesra rakyat kerana sanggup turun sendiri bertemu masyarakat, khususnya mereka yang memerlukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

536
Kongsi :
Previous post MELAKA RIVER CRUISE, ZOO MELAKA BERGABUNG TAWAR PAKEJ SILANG MENARIK