MELAKA REKOD 30,000 BEG DARAH SETAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 28 Julai – Sebanyak 29,000 hingga 30,000 beg darah berjaya dikumpulkan di Negeri Melaka setiap tahun, sekali gus menjadi antara penyumbang terbaik dalam negara.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, jumlah itu direkod menerusi 350 hingga 400 program pendermaan darah bergerak serta operasi Pusat Pendermaan Darah Hospital Melaka bagi memenuhi keperluan pesakit di seluruh negeri.

Menurut beliau, bekalan darah yang dikumpulkan bukan sahaja mencukupi untuk keperluan pesakit di Melaka, malah negeri ini turut membantu negeri-negeri lain menerusi konsep ‘Darah Tanpa Sempadan’ apabila berlaku kekurangan bekalan.

“Meskipun begitu, kita tidak boleh alpa dengan realiti semasa. Cabaran dalam menguruskan perkhidmatan transfusi darah ini amat besar.

“Sebagai contoh, komponen darah seperti platelet hanya mempunyai jangka hayat selama lima hari sahaja selepas didermakan.

“Ini menunjukkan kepentingan keperluan bekalan darah berterusan setiap hari sekali gus menuntut pendermaan darah dilakukan secara konsisten bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan World Youth Foundation (WYF), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, sehingga kini tiada lagi teknologi perubatan yang mampu menggantikan darah manusia sepenuhnya, sekali gus menjadikan pendermaan darah sukarela sebagai satu-satunya sumber bekalan kepada pesakit yang memerlukan.

Sehubungan itu, beliau menyeru lebih ramai rakyat tampil sebagai penderma darah tetap bagi menyokong sasaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meningkatkan kadar pendermaan darah negara kepada 35 hingga 40 penderma bagi setiap 1,000 penduduk menjelang tahun 2030.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

468
Kongsi :
Previous post ISU ABSTRAKSI AIR MENTAH TKPM MENGGONG PULIH HUJUNG TAHUN INI