Hiasan tanglung jana ekonomi penduduk

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

MACHAP JAYA 2 Februari – Hiasan tanglung yang penuh warna-warni di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, sehingga menjadi tumpuan ramai dapat membantu pembangunan ekonomi penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem berkata, dengan adanya inisiatif hiasan tanglung yang pelbagai bentuk di beberapa kampung menjadi Machap Jaya menjadikan ia kawasan tumpuan setiap tahun menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Katanya, berbanding kawasan lain di Melaka, Kampung Machap Umboo dan Machap Baru antara yang terkenal dengan kemeriahan hiasan tanglung dan juga dekorasi kawasan sekitar sehingga berjaya menggamit kedatangan pengunjung yang ramai.

“Selain meraikan dan memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina, usaha yang dilakukan penduduk dengan menghias tanglung mengikut kreativiti ia secara tidak langsung membantu menjana ekonomi penduduk setempat.

“Ini kerana mereka yang datang ke sini bukan sahaja rakyat tempatan tetapi juga dari luar Melaka termasuk pelancong luar negara.

“Apabila mereka sampai ke sini sudah pasti akan berbelanja sama ada makan di restoran yang diusahakan penduduk setempat atau membeli buah tangan selain ada juga yang bermalam di sini dengan menyewa ‘homestay’,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Perasmian Tanglung Dan Menyantuni Warga Emas Bersempena Tahun Baharu Cina 2024 peringkat Felda Hutan Percha.

Hadir sama, bekas Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Koh Nai Kwong dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Nizam Baharom.

Hee Sem berkata, semangat kerjasama dan kesepakatan antara penduduk juga dapat dilihat menerusi gerak kerja hiasan tanglung termasuk juga dekorasi yang dibuat bagi menyemarakkan lagi sambutan tahun naga pada tahun ini.

“Sebagai Adun kawasan ini saya rasa amat bangga kerana kerja-kerja ini bukan sahaja membabitkan orang dewasa tetapi semua peringkat usia terlibat sama. Ini memperlihatkan tanggungjawab orang muda untuk bersama-sama menabur bakti.

“Saya amat berharap inisiatif ini dapat diteruskan ke tahun berikutnya dalam memastikan kawasan Machap terus dikenali dan menjadikan lokasi tumpuan pelancong apabila datang ke Melaka terutamanya bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

673
Kongsi :
Previous post TMM2024 jadi penanda aras Tahun Melawat Malaysia 2026
Next post Suntik semangat buru emas di SUKMA 2024
Ubah saiz-+=