TMM2024 jadi penanda aras Tahun Melawat Malaysia 2026

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 3 Februari – Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dijadikan penanda aras dalam usaha merancakkan sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd Ghapar berkata, selain Melaka, Perlis, Perak dan Kelantan turut menjadi negeri terlibat dalam penganjuran tahun melawat negeri 2024 yang turut sama membantu memacu pertumbuhan sektor pelancongan pasca COVID-19.

Kata beliau, sambutan di semua empat negeri itu menunjukkan isyarat positif, selain memaparkan persaingan sihat dalam menarik kehadiran pelancong.

“Kita rasa bangga melihat kesemua negeri terbabit dengan tahun melawat negeri ini bersungguh-sungguh mempromosi pelbagai produk sedia ada dan produk baharu yang disediakan di negeri masing-masing.

“Empat negeri ini juga dijadikan ‘benchmark’ untuk kita melihat momentum persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Saya yakin sedikit masa lagi beberapa negeri akan mengumumkan penganjuran tahun melawat negeri tahun 2025 yang juga akan dijadikan penanda aras memacu sektor pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan ‘The Malaysia Book of Records’ Largest Lighting Event in Water Theme Park dan First Lighting Event in Water Theme Park yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah taman tema air, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Pengarah Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya (Motac) Melaka, Yeow Chin Chai dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron.

Dalam pada itu, Dr. Ammar optimis Melaka mampu mencapai sasaran pelancong dan pengunjung melebihi 18 juta bersempena TMM2024.

Bagi merealisasikan sasaran itu, jelas beliau, pemain industri pelancongan perlu kreatif dalam mempelbagaikan produk bagi menarik lebih ramai pelancong.

“Sebagai contoh, taman tema air di Ayer Keroh ini mencipta kelainan dengan mempelbagaikan produk mereka.

“Dari segi promosi produk pelancongan juga jangan meletakkan limitasi dan perlu sentiasa berjalan bagi merancakkan lagi sektor pelancongan seterusnya menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1128
Kongsi :
Previous post BSAT MAIM santuni asnaf terlantar
Next post Hiasan tanglung jana ekonomi penduduk
Ubah saiz-+=