Himpunan selawat UiTM cipta rekod negara

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

LENDU 20 Jun – Program Lendu Berselawat 2023 anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) selepas merekodkan penyertaan terbesar negara dalam himpunan berselawat.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd Janor berkata, program julung kali anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah menghimpunkan 11,386 pelajar UiTM seluruh negara berpusat di Dewan Taming Sari, UiTM Lendu, di sini malam tadi.

Katanya, program hibrid disertai pelajar UiTM seluruh negara itu diadakan serentak secara di atas talian dengan dipimpin daripada kumpulan Hadrah Shubhanul Muhibbin.

“Alhamdulillah program yang asalnya hanya melibatkan pelajar bukan residen telah diperluas penglibatannya kepada ke semua pelajar telah memberi sambutan di luar jangka pada malam ini.

“Kira-kira 5,000 pelajar telah memenuhi majlis pada malam ini dari ketiga-tiga kampus UiTM di Melaka, UiTM Rembau, Negeri Sembilan termasuk penglibatan pelajar dari Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM), Universiti Melaka (UNIMEL) dan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM).

“Program yang bertemakan Mahasiswa Berakhlak, Generasi Ummah Bertaqwa ini kali ini sejajar dalam usaha menyeimbangkan pembangunan diri pelajar dan kakitangan UiTM yang bukan sahaja dinilai dari akademik malah aspek kerohanian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Lendu Berselawat 2023

WhatsApp Image 2023-06-20 at 2.39.16 AM
ROZIAH menerima pengiktirafan MBOR selepas universiti itu merekodkan penyertaan terbesar negara dalam himpunan selawat disaksikan Tun Mohd Ali dan tetamu yang hadir.

Terdahulu, program berkenaan disempurnakan Yang di-Pertua negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Speaker DUN Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan Timbalannya Rosli Abdullah; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Adun Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin, dan Rektor UiTM Melaka, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini.

Pada masa sama, Roziah berkata, program berselawat itu akan dilaksanakan setiap tahun terutama menjelang 1 Zulhijjah di setiap kampus universiti berkenaan.

Katanya, disamping mengekalkan status pengiktirafan UiTM sebagai universiti bertaraf global (Globally Renowned University) yang cemerlang dalam pembangunan akademik, universiti itu juga perlu memandang aspek kerohanian dan agama agar terus seimbang dengan pencapaian akan datang.

“Dalam aspek kita berjaya mengekalkan status ini kita wajib mengingati Allah kerana Allah yang membantu kita mencapai perkara yang tidak mungkin dicapai tanpa usaha gigih daripada warga UiTM.

“Usaha ini sejajar dengan kehendak kementerian untuk menghindarkan penganjuran sebarang konsert di dalam kampus jadi inilah pilihan tepat disamping meningkatkan keteguhan kepada tuhan dan rasa cinta kepada Rasul,” katanya.

WhatsApp Image 2023-06-20 at 2.43.58 AM
PELAJAR UiTM daripada beberapa kampus di Melaka dan Negeri Sembilan termasuk beberapa IPT di Melaka terlibat dalam penganjuran itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1813
Kongsi :
Previous post ‘Badang’ cilik Melaka cipta kejutan lagi
Next post Melaka terima zakat perniagaan lebih RM7 juta
Ubah saiz-+=