Sorting by

×

Honda Malaysia mampu capai sasaran lebih tinggi jika guna teknologi EV

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

TABOH NANING 30 Mac – Syarikat pelaburan automotif terbesar Melaka, Honda Malaysia Sdn Bhd mampu meningkatkan lagi kadar pemasangan kenderaan bagi memenuhi permintaan pasaran semasa.

EXCO Kanan Pelaburan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu mampu dicapai sekiranya Honda Malaysia menggunakan teknologi kenderaan elektrik (EV) dalam rangkaian model keluaran mereka.

“Jika dilihat kepada pasaran domestik, Honda telah mencapai sasarannya.

“Sekiranya pasaran nampak lebih baik, Honda akan membesarkan kilang bagi memenuhi permintaan tempatan, mereka juga bersedia pada masa terdekat sekiranya keperluan menjadikan negara rendah karbon iaitu menggunakan teknologi EV.

“Teknologi itu mampu menjadikan Honda sebagai salah satu syarikat memasang EV pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pencapaian Satu Juta Pengeluaran Kenderaan Honda Malaysia di kilang pemasangan syarikat itu di Kawasan Perindustrian Hicom, Pegoh, hari ini.

Sulaiman Md Ali (tiga dari kanan) dan Ab Rauf (dua dari kiri) pada Majlis Pencapaian Satu Juta Pengeluaran Kenderaan Honda Malaysia Di Honda Malaysia, Hicom Pegoh Industrial Park, Alor Gajah. Foto Iqmal Haqim Rosman

Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Sdn Bhd, Madoka Chujo.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Honda Malaysia adalah pelabur utama dalam industri automotif negeri ini, ia juga antara 10 syarikat pelabur terbesar sektor perindustrian di Melaka.

Tambahnya, pada perbincangan awal Honda juga bersedia untuk mengembangkan rangkaian model baharu untuk dipasang di negara ini.

“Kerana inilah satu-satunya kilang pemasangan kereta Honda di Malaysia yang diberikan keutamaan untuk memasang semua model baru dan akan dipasarkan untuk pasaran tempatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1190
Kongsi :
Previous post Mangsa kedua Lata Hammer ditemukan
Next post RON97 naik lapan sen, RON95, diesel kekal
Ubah saiz-+=