Hospital Medan di Melaka terpaksa ditangguhkan

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

LENDU 20 Julai – Hasrat Melaka untuk membangunkan sebuah Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jasin bagi menyokong fasiliti kesihatan negeri terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia berikutan pihaknya difahamkan segala aset-aset oleh pihak ATM telah habis digunakan untuk keperluan negeri Selangor paling kritikal dibadai COVID-19 ketika ini.

“Menerusi mesyuarat semalam saya difahamkan bahawa pihak ATM telah mengeluarkan segala aset-aset mereka dan ia telah habis digunakan.

“Aset-aset itu banyak digunakan di negeri Selangor yang paling hebat berlaku jangkitan COVID-19, maka Melaka tidak dapat mewujudkan Hospital Medan.

“Bagaimanapun, Insya-Allah kita akan terus berusaha agar dapat mewujudkan Hospital Medan di negeri ini bagi menampung keperluan fasiliti kesihatan kita,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al Mujib, Kampung Durian Daun, hari ini.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini (MHI) melaporkan, kerajaan negeri bakal membina sebuah Hospital Medan ATM di Hospital Jasin dalam masa terdekat.

Ia susulan Hospital Melaka yang merupakan hospital utama merawat pesakit COVID-19 tahap 4 dan 5 kini sudah mencapai tahap kritikal sehingga memaksa dua lagi hospital daerah iaitu di Jasin dan Alor Gajah turut dijadikan tempat merawat pesakit COVID-19 yang baharu.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, menerusi mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) semalam, pihaknya dimaklumkan Hospital Melaka bakal menerima 10 lagi katil unit rawatan rapi (ICU) yang baharu berserta alat bantuan pernafasan.

Menurutnya, peralatan itu telah berada di Singapura dan hanya menunggu masa untuk dibawa masuk ke negeri ini.

“Pada masa sama, kita juga akan menyediakan katil-katil untuk kes kecemasan COVID-19.

“Buat masa ini memang ia (katil) masih mencukupi, cuma kita perlu bersedia awal kerana saya bimbang jika berlaku lagi peningkatan kes membabitkan COVID-19 yang serius,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

395
Kongsi :
Previous post PICK fasa 2 mula tunjuk keberkesanan – Dr Noor Hisham
Next post Patuh SOP erti pengorbanan Aidiladha tahun ini – KM
Ubah saiz-+=