Patuh SOP erti pengorbanan Aidiladha tahun ini – KM

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

LENDU 20 Julai – Patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) menjadi antara erti pengorbanan yang perlu disemai rakyat bersempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, konsep korban bukanlah semata-mata untuk umat Islam mengingati dan menginsafi kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail, bahkan ia turut merangkumi situasi semasa yang berlaku dalam negara sekarang.

Katanya, walaupun terpaksa hidup dalam suasana sukar sejak pandemik COVID-19 melanda, namun semua terpaksa berkorban dalam menjalani kehidupan norma baharu.

“Semasa berucap tadi saya turut menyentuh bahawa COVID-19 ini juga adalah makhluk ciptaan Allah SWT. Mesti ada sebab kenapa Allah SWT ciptakan makhluk ini.

“Jadi, dalam semangat korban hari ini, kita perlu terapkan pematuhan SOP kerana saya percaya dengan pengorbanan itulah dapat memberi kenikmatan kepada kita semua apabila Allah SWT mengangkat wabak itu dari muka bumi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al Mujib, Kampung Durian Daun, di sini, bersama 100 jemaah yang hadir.

Dalam pada itu, Sulaiman turut mengingatkan semua jawatankuasa masjid yang terlibat dengan ibadah korban agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan mematuhi SOP yang dikuatkuasakan bagi mengelakkan berlakunya penularan jangkitan COVID-19.

“Dengan penularan Varian Delta yang baharu ini kita bimbang jika ada yang berhimpit-himpit dan tidak mengamalkan pematuhan SOP.

“Saya berharap selepas diberi peluang menunaikan ibadah korban, mereka dapat patuh kepada SOP dan pada masa sama sentiasa berhati-hati untuk melindungi diri dan keluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

347
Kongsi :
Previous post Hospital Medan di Melaka terpaksa ditangguhkan
Next post Penghuni PKRC MITC tunai solat Sunat Aidiladha
Ubah saiz-+=