Hospital Medan Melaka mula beroperasi hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

BUKIT PALAH 11 Ogos – Hospital Medan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) di Hospital Melaka (HM) mula beroperasi hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, hospital medan berkenaan dijangka menerima pesakit pertama pada jam 4 petang tadi.

Jelasnya, hospital itu yang mengambil masa empat hari untuk disiapkan mampu menempatkan sekurang-kurangnya 75 pesakit COVID-19 kategori 3 dan 4.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya ada keperluan kapasiti itu boleh ditingkatkan menjadi 100 katil untuk merawat pesakit COVID-19.

 

SULAIMAN memeriksa katil disediakan di Hospital Medan MERCY Malaysia di Hospital Melaka.

 

“Hospital Medan MERCY Malaysia ini berfungsi sebagai penempatan sementara pesakit COVID-19 kategori 3 dan 4 di negeri ini sebelum dimasukkan ke wad COVID-19 di HM.

“Kapasiti katil yang disediakan buat masa ini ialah 75 katil membabitkan 45 katil bagi pesakit lelaki dan 30 pesakit wanita.

“Dengan kerjasama MERCY Malaysia, kita hanya memerlukan empat hari sahaja untuk menyiapkan sepenuhnya hospital medan ini dengan pembinaan telah bermula pada 7 Ogos dan siap sepenuhnya semalam.

“Seramai sembilan petugas kesihatan dibantu dengan sukarelawan daripada MERCY Malaysia akan ditempatkan di sini dengan kemasukan pesakit akan dilakukan secara berperingkat bermula hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Hospital Medan MERCY Malaysia di HM hari ini yang turut dihadiri Exco Kesihatan, Datuk Rahmad Mariman.

SULAIMAN (tengah) diberi penerangan mengenai Hospital Medan MERCY Malaysia.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, beliau berpuas hati dengan segala ciri-ciri keselamatan yang disediakan di hospital medan berkenaan.

“Alhamdulillah ciri-ciri keselamatannya cukup baik yang mana telah disediakan ‘smoke detector’, alat pemadam api dan segala-galanya yang diperlukan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Malah, pintu kecemasan dan tempat berkumpul juga telah disediakan dengan setiap pesakit akan diberikan taklimat mengenai sebarang kemungkinan.

“Saya juga berterima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka dan pelbagai agensi berkaitan yang turut sama membantu dalam melancarkan hospital medan ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Hospital Medan MERCY Malaysia itu buat masa ini hanya akan mengendalikan kes-kes berkaitan COVID-19 sahaja.

Bagi pesakit bukan COVID-19, ujarnya, mereka akan dihantar ke hospital daerah seperti Hospital Jasin, Hospital Alor Gajah dan juga 94 Hospital Angkatan Tentera (94 HAT) Kem Terendak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

959
Kongsi :
Previous post Gempa bumi sederhana di utara Sumatera, gegaran dirasai sekitar Selangor, KL
Next post Bangunan Wisma Negeri MITC ditutup esok
Ubah saiz-+=