Sorting by

×

Hujan lebat bawa udang galah ‘jumbo’

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER LIMAU 1 Ogos – Hujan lebat di hulu Sungai Rembau semalam dipercayai membawa udang galah bersaiz besar ke hilir sungai di Lubok Cina, di sini dan membolehkan kaki pancing tersenyum lebar hari ini.

Rezeki yang tidak disangka-sangka itu diperoleh Muhammad Azan Ramli, 26, dan bapanya, Ramli Abu Bakar, 57, ketika memancing ikan di sungai itu.

Muhammad Azan berkata, dia dan bapa terkejut apabila mata kail bersaiz besar yang lazim digunakan untuk memancing ikan tersangkut udang galah bersaiz besar yang kebiasaannya memakan umpan yang dipasang pada mata kail bersaiz kecil.

“Lazimnya udang galah tidak memakan anak udang yang dibuat umpan pada mata kail besar tetapi pagi ini, lain yang kami hajatkan, lain pula yang memakan umpan,” katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Paya Lebar, Lubok Cina.

Dia berkata, tidak seperti ikan, udang galah hanya memakan umpan sedikit demi sedikit seolah-olah mengetip berbanding ikan yang menyambar dan menghasilkan henjutan yang kuat.

Ramli ceria menaikkan udang galah besar yang dipancing di Sungai Rembau, Lubok Cina dekat Masjid Tanah.

“Alhamdulillah, apabila kami tarik, kami terkejut apabila mendapati udang galah bersaiz besar memakan umpan,” katanya.

Dia berkata, selain udang galah, mereka turut berjaya menaikkan ikan gelama dan senangin seberat lima kilogram yang masing-masing dijual pada harga RM10 dan RM20 sekilogram manakala udang galah RM70 sekilogram.

Katanya, hasil tangkapan sedemikian mendorong lebih ramai kaki pancing mencuba nasib di Sungai Rembau, Sungai Ramuan Cina dan Kuala Linggi yang menjadi habitat udang galah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5189
Kongsi :
Previous post Dewan Rakyat lulus dua Rang Undang-Undang berkaitan pertanian, tentera
Next post Penganggur maut ditetak ketika makan
Ubah saiz-+=