i-Citra: Najib gesa lulus, Tajuddin mohon hormati keputusan kabinet

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Seorang Ahli Parlimen kerajaan hari ini menegaskan agar keputusan Kabinet untuk tidak membenarkan pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dihormati demi kebajikan rakyat.

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) berkata semua pihak tidak sepatutnya menjadikan isu i-Citra sebagai bahan politik atau kepentingan peribadi.

“Mereka (kerajaan) juga memikirkan masa depan rakyat, jika dikeluarkan duit semua maka apa akan terjadi pada masa akan datang. Kita tidak tahu penderitaan dan kesusahan pada masa hadapan.

“Benar itu duit mereka tetapi kita sebagai pemimpin dan kerajaan mesti menasihati, mendidik dan menjaga rakyat,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, dalam sesi perbahasan sama, Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan) sekali lagi meminta kerajaan agar meluluskan pengeluaran i-Citra bagi memenuhi keperluan rakyat.

Bekas perdana menteri itu berkata ini merupakan kali keempat beliau mencadangkan kerajaan memenuhi permintaan rakyat untuk pengeluaran kali terakhir simpanan mereka itu.

“Siapa hendak claim kredit (mendapat nama) tak kisahlah…Asalkan permintaan pengeluaran kali terakhir ini, yang sangat diharapkan oleh rakyat dapat dipenuhi kerajaan dengan segera,” katanya.

Najib berkata, beliau menerima komen-komen menerusi media sosial yang memintanya membangkitkan soal pengeluaran i-Citra semasa sesi perbahasan itu.

Menurut Najib, beliau lebih optimis kerajaan akan membenarkan pengeluaran itu kerana Ahli Parlimen yang sebelum ini pernah menggelar usahanya membangkitkan soal pengeluaran i-Citra seumpama meminang Puteri Gunung Ledang, kini sudah menyokong.

Kerajaan sebelum ini telah membenarkan pengeluaran wang KWSP menerusi beberapa siri inisiatif, i-Sinar, i-Citra dan i-Lestari.

Sementara itu, Datuk Ramli Mohd Nor yang mempengerusikan sidang Parlimen secara sementara mengarahkan RSN Rayer (PH-Jelutong) keluar dan digantung sehari selepas beliau beberapa kali bangun mencelah ketika Najib membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Ramli mengambil tindakan berkenaan selepas memberi amaran tiga kali kepada Rayer agar mengikut peraturan namun tidak dipatuhi Ahli Parlimen Jelutong itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

707
Kongsi :
Previous post Banjir makin pulih, penduduk di Kemaman mulakan kerja pembersihan
Next post Warga emas cacat penglihatan teruja terima bantuan PM
Ubah saiz-+=