Warga emas cacat penglihatan teruja terima bantuan PM
KUALA BERANG, 2 Mac – Seorang warga emas cacat penglihatan amat teruja menerima sumbangan kotak barangan keperluan asas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa lawatannya ke pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Batu 23 di sini, hari ini.
Mohd Zain Latih, 82, yang mengalami masalah selaput mata berkata pada awalnya beliau tidak tahu bahawa individu yang melawat dan memberi sumbangan kepadanya itu adalah perdana menteri.
“Pak cik tak nampak apa, menteri mana pun tak tahu sebab mata pak cik tak nampak, orang beritahu – baru tahu,” katanya ketika ditemui Bernama di PPS berkenaan.
Mohd Zain yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata beliau datang ke kampung itu setelah dipelawa oleh anak saudaranya yang risau akan keadaan dirinya yang sudah uzur.
Sementara itu anak saudaranya Noor Malawati Mamat, 59, berkata bapa saudaranya yang tidak pernah berkahwin itu mempunyai masalah kesihatan lain, antaranya darah tinggi.
“Pak cik ni biasanya akan berpuasa dua bulan lebih awal (puasa Rejab, Syaaban dan Ramadan) di samping tidak pernah tinggal puasa sunat pada Isnin dan Khamis.
“Oleh kerana sekarang dia dah mula berpuasa, saya ajak dia tinggal dengan saya supaya dapat diuruskan makan minum dia dengan sempurna, tapi tak sangka pula kampung kami dilanda banjir,” katanya.
Noor Malawati berkata semua barangan di dalam rumahnya musnah kerana tidak sempat diselamatkan akibat banjir dan barangan jualan di kedainya turut hanyut dibawa arus banjir.
“Saya sangat terharu bila perdana menteri datang melawat kami, memang hampir menangis dah tadi. Dia (PM) bukan orang sini pun, tapi datang jengok kami dan bagi sumbangan, rasa lega sikit,” katanya yang turut berharap agar mendapat bantuan sewajarnya untuk memulakan kembali kehidupan.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.