Ibu bapa, guru perlu kerjasama elak penularan kluster pendidikan- Rais

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 1 Dis. – Semua pihak khususnya ibu bapa dan guru perlu mengambil inisiatif kendiri terhadap anak dan murid sekolah bagi mengelakkan berlakunya penularan COVID-19 sehingga mencetuskan kluster pendidikan di negeri ini.

Berikutan itu, Exco Pendidikan negeri, Datuk Rais Yassin berkata, semua pihak termasuk Jabatan Pendidikan Melaka perlu memainkan kerjasama dan memastikan arahan mewajibkan murid sekolah rendah disaring secara mingguan berjalan lancar di Melaka.

“Apa yang disarankan atau diwajibkan oleh KKM ini saya amat sokong dan berharap agar pihak Jabatan Pendidikan Melaka sambut baik inisiatif ini dan juga pastikan ia berjalan lancar di negeri Melaka

“Kita sudahpun hidup dengan COVID-19 ini selama lebih dua tahun jadi waktu sekarang ini adalah kerjasama semua pihak dan ia amat penting terutama sekali selain daripada pihak guru di sekolah, ia juga memerlukan kerjasama daripada ibu bapa.

“Jadi kalau ibu bapa ini melihat anak mereka contohnya ada gejala demam ataupun ada selsema, pastikan jangan hantar dulu ke sekolah sebelum membuat ujian kendiri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, beliau berpesan kepada semua pendidik di negeri ini agar sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan murid sekolah perlu dipertingkatkan dan dipatuhi.

“Saya percaya pihak kementerian pemdidikan telahpun menggariskan pelbagai SOP yang telah dibincang bersama dengan kementerian kesihatan. Jadibyang ini amat penting para guru pastikan di sekolah sekolah anak anak murid patuh kepada SOP.

“Para guru juga penting untuk mengambil satu inisiatif kendiri. Kalau rasa diri mereka bergejala, mesti ada satu ujian dahulu baru boleh pergi ke sekolah pasal ini melibatkan anak anak kecil dan pelajar pelajar yang kita mesti jaga masa depan mereka,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Exco Pendidikan dan Teknologi negeri berkata, pihaknya akan mempertimbangkan dan mengambil tindakan pantas dan sewajarnya sekiranya didapati terdapat jangkitan baharu COVID-19 di sekolah-sekolah negeri ini.

“Saya akan bermesyuarat dengan pihak pentadbiran Jabatan Pendidikan negeri untuk saya ketahui apa SOP apabila berlakunya penularan ini. Tetapi apa yang pasti saya bagi jaminan kalau sekolah itu ada saja kes walaupun satu dua kes, kita akan pastikan berapa proses sanitasi dan pembersihan itu akan dijalankan sebaik mungkin,” ujarnya.

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan KPM akan mengeluarkan surat pemakluman berkenaan pelaksanaan saringan bergilir Covid-19 untuk murid sekolah rendah yang perlu dilaksanakan pada setiap Rabu.

Kementerian itu juga menyarankan agar ketetapan itu turut terpakai di semua sekolah rendah dan institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah kementerian itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

474
Kongsi :
Previous post Pencegahan, rawatan berjaya turunkan kes HIV
Next post KL ATCC pertingkat tahap kecekapan perkhidmatan trafik udara negara
Ubah saiz-+=