Pencegahan, rawatan berjaya turunkan kes HIV

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR 1 Dis – Bilangan kes HIV baharu berjaya diturunkan kepada 3,146 kes pada tahun 2020 iaitu 9.31 kes dengan penurunan kadar notifikasi sebanyak 66 peratus berbanding tahun 2002.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sebelum ini Malaysia mencatatkan bilangan kes HIV baharu tertinggi pada tahun 2002 iaitu sebanyak 6,978 kes atau pada kadar 28.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

“Dengan pelaksanaan usaha pencegahan, kawalan, rawatan dan jagaan, bilangan kes HIV baharu berjaya diturunkan kepada 3,146 kes pada tahun 2020.

“Hari AIDS Sedunia yang disambut pada 1 Dis setiap tahun di seluruh dunia bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai jangkitan HIV dan langkah pencegahan serta rawatan ke arah mengakhiri AIDS pada tahun 2030.

“Pada masa yang sama, ia menjadi platform untuk semua pihak memperbaharui komitmen dan tekad bagi mempergiatkan usaha secara bersama dalam menangani jangkitan HIV/AIDS.

“Lebih tiga dekad negara kita telah menggembleng usaha untuk mencegah, mengawal dan merawat jangkitan HIV/AIDS dan dalam tempoh tersebut, banyak kejayaan yang telah kita capai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata negara juga dapat mengekalkan kadar jangkitan vertikal HIV dari ibu ke anak pada kadar di bawah dua peratus dan memastikan ia tidak menjadi ancaman kesihatan awam.

“Pelaksanaan program pengurangan mudarat sejak Oktober 2005 dengan
kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan khususnya Majlis AIDS Malaysia (MAM) juga berjaya mengurangkan jangkitan HIV/AIDS dalam kalangan mereka yang menyuntik dadah, yang pernah menjadi punca utama jangkitan HIV/AIDS di Malaysia.

“Peratusan jangkitan HIV baharu dalam kalangan mereka yang menyuntik dadah juga menurun daripada 74.2 peratus (5,176 kes) pada tahun 2002 kepada 3.9 peratus (122 kes) pada tahun 2020.

“Pemberian ubat antiretroviral (ARV) kepada mereka yang hidup dengan HIV (PLHIV) juga dipertingkatkan daripada 28 peratus pada tahun 2015 kepada 58 peratus pada tahun 2020.

“Peningkatan ini bagaimanapun masih rendah jika dibandingkan dengan sasaran 90 peratus dalam usaha kita untuk mengakhiri AIDS,” katanya.

Tema sambutan Hari AIDS Sedunia pada tahun ini ialah Ketidaksamarataan, Akhiri AIDS, Akhiri pandemik (End inequalities, End AIDS, End pandemics).

Ujarnya selari dengan hasrat tema itu, kerajaan akan terus komited menangani Akhiri HIV/AIDS dan meningkatkan usaha untuk mencapai matlamat mengakhiri AIDS pada tahun 2030

“Penambahbaikan perkhidmatan akan terus dilaksanakan bagi memastikan orang awam, kumpulan populasi tumpuan (key population) dan mereka yang menjalani hidup dengan HIV terus mendapat perkhidmatan HIV/ AIDS dan kesihatan yang lain termasuk COVID-19,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1285
Kongsi :
Previous post Agong gusar penularan varian Omicron, nasihat rakyat ambil vaksin, berdisiplin, patuhi SOP – Istana Negara
Next post Ibu bapa, guru perlu kerjasama elak penularan kluster pendidikan- Rais
Ubah saiz-+=