Ikan besar rentap rawai, nelayan kena lima jahitan

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

TANJUNG BIDARA 26 Julai – Akibat direntap ikan besar seorang nelayan yang sedang menarik rawai terpaksa menerima lima jahitan akibat ibu jari kiri tertusuk mata kail pagi tadi.

Mohd Amin Fuad Ramli, 27, terpaksa menahan kesakitan tiga jam dan hampir pengsan akibat kehilangan banyak darah selepas ibu jarinya terbelah kira-kira empat sentimeter.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, tekong terbabit dan awak-awak, Shahrin Nizam Dorani, 30, menangkap ikan di perairan dua batu nautika dari Pantai Tanjung Dahan, Kuala Linggi dekat sini.

“Kami turun ke laut jam 6.30 pagi dan selesai membuang rawai pada jam 8 pagi sebelum menariknya mulai jam 8.45 pagi.

“Selepas menarik suku bakul rawai, saya menanggalkan ikan gelama yang tersangkut pada mata kail tetapi pada masa sama, saya tidak perasan ada ikan besar yang sudah kena mata kail berada di bawah perahu.

“Tiba-tiba ikan itu merentap tali rawai dan menyebabkan ibu jari kiri tertusuk mata kail,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Kampung Pengkalan Balak, di sini.

NELAYAN, Mohd Ali Abu Bakar menyusun rawai, iaitu 800 mata kail untuk menangkap ikan.

Katanya, dalam keadaan kesakitan dia sempat mengambil pisau dan memotong tali rawai sebelum membalut luka dengan kain.

Akibat kesakitan Mohd Amin terpaksa menyerahkan tugas menarik baki rawai yang masih tenggelam dalam laut kepada rakannya, sementara dia mengendalikan enjin motor sangkut 30 kuasa kuda.

Sepanjang Shahrin menarik rawai, Mohd Amin terpaksa menahan kesakitan yang menyebabkan kepalanya pening dan hampir pengsan akibat kehilangan banyak darah.

Sejurus selepas selesai menarik rawai, mereka kembali ke Pangkalan Nelayan Kampung Pengkalan Balak pada jam 12 tengah hari sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru.

“Saya tidak sangka ada ikan besar kerana tiada henjutan pada tali rawai, mungkin ikan yu kemejan yang jika memakan umpan rawai, dia tidak mengigal seperti ikan merah atau jenahak.

“Ikan itu mempunyai daya henjutan yang sangat kuat kerana dengan sekali henjutan saja, tali rawai terlepas daripada tangan saya dan mata kail tertusuk pada jari,” katanya yang terpaksa berehat sekurang-kurangnya seminggu akibat kecederaan dialami.

Rawai adalah alat menangkap ikan dengan menggunakan 800 mata kail yang dipasang umpan sebelum dibuang ke dasar laut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1344
Kongsi :
Previous post AEON Ayer Keroh ditutup hingga Jumaat
Next post MPJ dan McDonald’s Merlimau santuni ‘frontliner’
Ubah saiz-+=