MPJ dan McDonald’s Merlimau santuni ‘frontliner’

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

JASIN 26 Julai – Jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan memerangi pandemik Covid 19 terus dihargai pelbagai pihak.

Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) tidak ketinggalan menghargai perjuangan mereka menerusi penganjuran Program MPJ Prihatin – Penyampaian Kit Makanan.

Menerusi program itu, anggota MPJ berkonvoi ke Sekatan Jalan Raya (SJR) di Daerah Jasin serta Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Alamanda MPJ dan menyampaikan kit makanan kepada petugas terbabit.

Yang Dipertua MPJ, Datin Sapiah Haron berkata, inisiatif tersebut diharap dapat memberikan sedikit keceriaan kepada petugas barisan hadapan terbabit.

SAPIAH (empat kiri) menyampaikan sumbangan kit makanan kepada petugas barisan hadapan SJR.

“Mereka antara yang bertanggungjawab memastikan daerah ini khususnya dalam keadaan selamat.

“Sumbangan ini sebagai usaha kami menghargai jasa serta pengorbanan petugas barisan hadapan terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan barisan pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang menjalankan tugasan di daerah ini.

“Antara SJR yang kita lawati adalah Jalan Tehel – Jasin, Tol Lipat Kajang, Lebuhraya AMJ Sungai Rambai dan Jalan Kesang – Garing,” katanya.

Jelas Sapiah, dalam kesibukan menjalankan tugas, petugas barisan hadapan mungkin tidak sempat untuk berehat dan mengisi perut mereka.

“MPJ sedaya upaya membantu dengan menyediakan bekalan makanan agar mereka dapat bekerja dengan lebih lancar dan bersemangat,” katanya.

Program itu turut disertai McDonald’s Merlimau yang menyumbangkan set makanan kepada petugas SJR Daerah Jasin dan PPV Dewan Alamanda.

MPJ turut mengalu-alukan kerjasama daripada badan-badan Korporat dan pertubuhan bukan kerajaan yang ingin turut serta dalam menyampaikan sumbangan dalam program itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

768
Kongsi :
Previous post Ikan besar rentap rawai, nelayan kena lima jahitan
Next post Atlet angkat berat Filipina berlatih di Melaka raih emas Olimpik
Ubah saiz-+=