IKAN LUMBA-LUMBA ‘PERMATA’ PANTAI SIRING

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SERKAM 20 Oktober – Selain bersiar-siar menikmati keindahan Taman Laut Melaka, pengunjung kini juga berpeluang menyaksikan gelagat ikan lumba-lumba yang sering berlegar di sekitar perairan Pantai Siring.

Ia menjadi antara tarikan baharu pelancongan di negeri ini menerusi pakej bersiar-siar menaiki bot yang ditawarkan di Pantai Siring dan jeti-jeti berhampiran.

Menurut seorang pemandu pelancong yang mengusahakan Bot Adinda, Nur Muhammad Azim Abd Manap, 20, pengunjung berpeluang menyaksikan gelagat spesies mamalia itu ketika air pasang penuh.

Jelasnya, sejak kecil lagi ikan lumba-lumba itu telah menjadikan perairan Pantai Siring sebagai lokasi persinggahan, namun, jumlahnya semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

“Dahulu jumlahnya sekitar dua atau tiga ekor sahaja, tetapi sekarang paling banyak saya pernah lihat sekitar 30 ekor ikan lumba-lumba berenang di perairan Pantai Siring ini.

“Ia tidak memunculkan diri setiap masa, tetapi kebiasaannya akan muncul ketika air besar iaitu 30 minit sebelum dan selepas air pasang penuh.

“Boleh dikatakan sejak akhir-akhir ini pengunjung yang menaiki bot saya untuk bersiar-siar dapat melihat lebih dekat dan merakam gelagat ikan lumba-lumba menunjukkan diri di permukaan air,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Nur Muhamad Azim yang bergelar pemandu pelancong dan berdaftar dengan Jabatan Perikanan Negeri Melaka sejak awal tahun ini memaklumkan, orang ramai boleh mendapatkan perkhimatan bersiar-siar menaiki bot pada harga serendah RM5 hingga RM70 seorang, selain pelbagai pakej menarik lain turut ditawarkan bersama Bot Adinda.

“Kami menyediakan pelbagai pakej termasuklah trip mengelilingi Pulau Besar, pakej snorkeling, pakej ke Taman Laut Melaka dan pelbagai lagi,” ujarnya.

Sementara itu, Pejabat Perikanan Negeri Melaka memaklumkan, kemunculan ikan lumba-lumba itu memberi gambaran bahawa ekosistem marin di perairan Melaka masih sihat dan terpelihara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5633
Kongsi :
Previous post 50 BELIA MELAKA TERIMA SUMBANGAN KIT MAKANAN SEMPENA DEEPAVALI
Next post KEBAJIKAN, KESEJAHTERAAN RAKYAT JADI KEUTAMAAN – AB RAUF
Ubah saiz-+=