Ilham video tutorial

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

MACHAP JAYA 8 Ogos- Gabungan kreativiti dan tangan berseni, tiga suri rumah dari Felda Tun Ghafar Hutan Percha, kini mampu meraih pendapatan sampingan lumayan setiap bulan meskipun tinggal di kampung.

Sejak enam bulan lalu mereka aktif menawarkan perkhidmatan gubahan jambangan bunga, hamper dan cenderahati kepada mana-mana pihak berminat.

Sapinah Sagap, 39, berkata, ilham untuk menjalankan perniagaan itu tercetus selepas dia menonton video tutorial mengenai teknik pembungkusan hamper kreatif yang tular di media sosial.

Katanya, projek berpusat di bangunan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Felda Tun Ghafar Hutan Percha itu menggunakan jenama ‘Sosuwit Bouquet & Hamper’.

WhatsApp Image 2023-08-07 at 16.56.01
KISAH tiga ibu yang berjaya dalam perusahaan dijalankan mampu membantu menambah ekonomi pendapatan keluarga wajar dicontohi dalam kalangan wanita.

Ujarnya, perniagaan kecil-kecilan itu dijalankan bersama dua rakan iaitu Datin Norenah Muhammad dan Yanti Mohd Salleh, masing-masing berusia 52 tahun.

“Kami menawarkan tempahan serendah RM5 sahaja, syukur sejak beroperasi setiap hari pasti ada tempahan yang masuk. Pihak KEMAS turut memberikan sokongan dengan menyewakan ruang di bangunan ini serendah RM50 sahaja sebulan.

“Alhamdulillah kami semakin berkembang, tempahan juga ada yang diterima dari luar Melaka seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perlis,” katanya.

Menurutnya, jumlah tempahan pasti meningkat setiap kali tiba musim perayaan atau sambutan rasmi seperti Hari Guru.

“Sokongan daripada pimpinan masyarakat kawasan ini amat membantu kami untuk terus berkembang, banyak peluang dan kepercayaan sudah diberikan kepada saya bersama rakan sebelum ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2980
Kongsi :
Previous post INSWA ke Itali perkenalkan Dondang Sayang
Next post Sumbangan katil, mesin oksigen ceriakan Zaili
Ubah saiz-+=