Indeks jenayah Melaka menurun 27.9 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 17 Julai – Indeks jenayah Negeri Melaka turun 27.9 peratus berdasarkan statistik Januari hingga Jun 2020.

Statistik menunjukkan indeks jenayah Melaka merekodkan 902 kes pada Januari hingga Jun tahun ini, berbanding 1,251 yang direkodkan sepanjang tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim berkata, penurunan itu mungkin berlaku atas faktor penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sepanjang tahun ini.

Justeru, katanya, orang ramai terutamanya pelancong domestik tidak perlu bimbang untuk melancong ke negeri ini kerana pihaknya memberi jaminan Melaka selamat untuk dilawati.

“Seperti kita tahu, Melaka adalah negeri tumpuan pelancong. Jadi, para pelancong tidak perlu risau untuk berkunjung ke Melaka memandangkan negeri ini selamat untuk dilawati.

“Saya percaya rakyat negeri sangat mengalu-alukan kedatangan anda dan kami di pihak polis akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka, memastikan lalu lintas dan keselamatan semua yang berkunjung ke negeri ini akan terjaga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selepas Lawatan Kerja Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Sharul Lalli Masduki.

Dalam lawatan itu, Ketua Menteri dimaklumkan mengenai situasi keselamatan Melaka pasca Covid-19 dan segala perancangan terbaharu pihak polis dalam memastikan Melaka sebagai antara negeri yang paling kondusif dan selamat dikunjungi pelawat.

Dalam pada itu, Mat Kasim berkata, pihaknya akan menempatkan beberapa anggota bagi pencegahan jenayah serta mengawal dan membantu penguraian lalu lintas terutama di kawasan tumpuan pelancong di negeri ini.

Katanya, seramai 40 polis pelancong masih ditugaskan bagi mengawal kawasan pelancongan serta beberapa anggota lagi akan dikerahkan untuk membuat pemantauan di lokasi terpilih.

“Menerusi cawangan trafik pula, kita akan mengadakan ops lancar dan turut meletakkan anggota terutama jalan-jalan utama menghala ke bandar Melaka untuk mengelakkan kesesakan teruk terutama setiap hujung minggu,” katanya lagi.

Views:

324
Kongsi :
Previous post Sebak teringat kisah sebagai anak polis
Next post MBMB mohon KPKT serahkan syarikat konsesi
Ubah saiz-+=