Individu positif COVID-19 di Jasin dikategorikan sebagai kes luar Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 26 Sept. – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Rahmad Mariman mengesahkan wujudnya satu kes positif COVID-19 di Melaka, hari ini.

Bagaimanapun menurutnya, kes berkenaan tidak menjadikan Melaka kembali ke zon kuning, sebaliknya kekal hijau kerana kes berkenaan mula dikesan di luar Negeri Melaka.

Menurutnya, walaupun data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan negeri ini terdapat satu kes baharu, namun ia tetap dikelaskan sebagai kes import B (luar Melaka).

PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Rahmad Mariman

“Melaka tetap hijau kerana walau kes di rawat di Melaka, namun individu berkenaan menjalankan swab test di Johor.

“Kes itu dikelaskan sebagai import B ( luar Melaka). Namun data Melaka tetap bertambah satu,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Ditanya sama ada dakwaan yang tular mengaitkan individu dari Jasin yang dijangkiti COVID-19 itu baru pulang bercuti di Sabah, Rahmad telah mengesahkannya.

“Nasihat saya kepada orang ramai agar elakkan tempat sesak, pakai pelitup separuh mula di tempat awam dan cuci tangan selalu,” katanya lagi.

Sebelum ini tular di aplikasi Whatsapp mengaitkan seorang wanita di Jasin dijangkiti Covid-19 selepas pulang daripada bercuti di Semporna, Sabah pada 13 hingga 17 September lalu.

Difahamkan wanita berkenaan mempunyai gejala seperti demam, muntah dan cirit-birit pada 18 September dan disahkan positif selepas menjalani ujian calitan di sebuah hospital swasta di Muar.

Views:

282
Kongsi :
Previous post PN Melaka masih berdiri teguh
Next post Semua individu tiba dari Sabah wajib jalani saringan mulai esok
Ubah saiz-+=