Industri koko Malaysia berpotensi tembusi pasaran antarabangsa

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KOTA SAMARAHAN, 12 Dis – Industri koko Malaysia berpotensi tinggi untuk menembusi pasaran antarabangsa berikutan mutu dan kualitinya yang tinggi, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.

Menurutnya kementerian itu serius untuk membangunkan industri koko sebagai komoditi keempat terbesar negara  selepas sawit, getah dan kayu-kayan.

“Kementerian akan membantu pekebun-pekebun kecil untuk meningkatkan tanaman dan produktiviti dengan menyarankan mereka menanam pokok koko daripada baka yang baik. Kualiti biji koko yang dihasilkan di Malaysia telah mendapat pengiktirafan dan penghargaan di peringkat antarabangsa.

“Jadi, kalau kita boleh fokus menanam koko yang bermutu tinggi, ia sudah tentu akan menjana pendapatan. Industri koko juga perlu dijadikan sebagai tanda perdagangan (Malaysia) yang bukan sahaja untuk pekebun kecil di peringkat hiliran, malah untuk dijadikan tarikan kepada pelancong,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kompleks Kluster Koko Sarawak di sini, hari ini.

Zuraida berkata Lembaga Koko Malaysia berusaha membantu pengusaha coklat tempatan mempromosi produk mereka agar dikenali di seluruh negara, sekali gus dapat menandingi coklat keluaran antarabangsa.

“Kita mahu rakyat tahu bahawa jenama coklat tempatan seperti Magnificient, Marvelous, dan Royal merupakan produk yang dihasilkan di Malaysia seperti coklat Beryl’s yang kini telah menjadi pengeksport coklat nombor satu negara.

“Ini membuktikan bahawa negara kita sangat progresif dan bukan calang-calang serta mampu bersaing dengan jenama-jenama besar di luar negara kerana coklat kita bermutu tinggi dan harganya berpatutan,” katanya.

Kompleks Kluster Koko Sarawak di Kota Samarahan bernilai RM4.6 juta itu telah siap dibina pada Mei lepas dan merupakan sebahagian daripada komponen Program Pembangunan Rantaian Kluster Koko di bawah Rancangan Malaysia Ke-12. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1181
Kongsi :
Previous post Pemilihan UMNO mungkin diadakan Nov tahun depan – Mohamad
Next post Buli: KPM kaji cadangan wujud warden asrama sepenuh masa
Ubah saiz-+=