Industri pelancongan sedang ‘nazak’

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 4 Nov. – ‘Tenat dan nyawa-nyawa ikan’. Itulah situasi yang dihadapi pemain industri pelancongan negeri ini susulan pandemik COVID-19 yang masih berlarutan selama lebih tujuh bulan sejak Mac lalu.

Perkara itu diakui Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka Goh Hock Gin ketika ditemui dalam program Libat Urus Melaka Hari Ini (MHI) bersama Persatuan-Persatuan Pelancongan Melaka.

Menurutnya, sebagai badan yang menguruskan agensi pelancongan, pihaknya kini berdepan risiko gulung tukar akibat kerugian yang dihadapi memandangkan khidmat pakej pelancongan kini tidak lagi menjadi pilihan.

Jelasnya, situasi yang berlarutan itu membuatkan ramai yang hilang punca pendapatan, selain ada antara mereka terpaksa mencari pekerjaan lain seperti penjual barangan demi menyara hidup.

“Boleh katakan kita sekarang sudah tiada lagi bisnes. Untuk agen pelancongan, lebih menyedihkan kerana mereka tiada lagi pendapatan dan kini terpaksa bergantung harap kepada kerja-kerja lain.

“Sebelum ini, agen-agen kebanyakan berharap kepada pelancong luar negara. Kini kita terpaksa fokus kepada pelancong domestik dan akibat COVID-19, kebanyakan pelancong domestik lebih gemar melancong sendiri dan tidak melalui agen.

“Jadi bagaimana kami mahu bertahan dalam situasi sekarang? Kebanyakan kami sudah mula menutup perniagaan akibat kerugian yang dihadapi,” katanya.

Nada sama turut disuarakan Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA) Madelina Kuah Way Lee.

Menurutnya, hampir 80 ahli MTA merangkumi lapan sub sektor pelancongan seperti hotel, rekreasi, muzium, hospital, agen pelancongan dan antik mengalami kerugian besar ekoran perniagaan terjejas daripada pandemik COVID-19.

“Jika dahulu, sebahagian pemain industri boleh menjana pendapatan sehingga RM5,000, sekarang nak dapat RM1,000 pun susah. Ada di antara mereka yang kini tiada pendapatan langsung.

“Kebanyakan pemain industri ini mempunyai staf yang perlu dijaga. Staf mereka juga ada keluarga, jadi situasi ini memang tersangat sukar dan menyedihkan buat semua,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia (MKHA) Zohaime Muhamad Sori berkata, selain sektor pelancongan bandar, kawasan pelancong luar bandar turut terkena tempiasnya.

ZOHAIME Muhamad

Beliau mendakwa, sejak Mac lalu hingga kini, pengusaha homestay dan kampungstay dalam negara masih belum boleh menerima kehadiran pelancong untuk menginap susulan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih belum membenarkan sektor berkenaan beroperasi.

“Sepanjang COVID-19, MKN memang tidak membenarkan pelancong mengambil pakej homestay. Ia kerana konsep homestay sedikit berbeza yang mana ia melibatkan ‘host family’ yang mana pelancong akan menginap dan menjalankan aktiviti bersama keluarga itu.

“Jadi, disebabkan arahan tersebut, kebanyakan pengusaha kini tiada pendapatan seperti sebelum ini.

“Jadi, saya meminta pihak kerajaan supaya lihatlah masalah yang dialami pengusaha di luar bandar. Bila umumkan bantuan, pandanglah juga kepada pengusaha seperti kami.

“Sehingga kini, kami tidak menerima sebarang bentuk bantuan dan itu memberi kesukaran kepada kebanyakan daripada kami yang kini nyawa-nyawa ikan,” katanya.

Views:

934
Kongsi :
Previous post Syarikat pengeluar telur didenda RM25,000
Next post COVID-19: “Pelanggan kini lebih berhati-hati” – peniaga
Ubah saiz-+=