Ingat talian hotline 997 elak kena ‘scam’

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDARAYA MELAKA 26 September – Orang ramai dinasihatkan agar tidak ragu-ragu untuk menghubungi nombor hotline 997 bagi membuat aduan tentang jenayah siber berunsurkan ‘scam’ atau penipuan di negeri ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, ia berikutan jumlah penipuan jenayah siber ini masih meningkat biarpun pelbagai program kesedaran telah dilaksanakan.

Katanya, antara program kesedaran yang telah dijalankan, termasuklah ceramah berkaitan jenayah siber di seluruh negeri, namun pendekatan itu dilihat tidak cukup efektif kepada rakyat Negeri Melaka.

“Sebelum ini Jabatan Penerangan Negeri Melaka kerap menganjurkan ceramah pendidikan jenayah siber di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), kampung dan sekolah, cuma kita kena kaji kenapa mesej ini tidak sampai kepada masyarakat.

“Mungkin kita kena kupas atau buat ‘post mortem’ tentang ceramah pendidikan ini ke satu tahap yang lebih luas, sama ada rakyat kita masih tidak sedar atau ada teknologi terkini yang digunakan ‘scammer’ ini untuk memperdaya kita.

“Jadi saya minta sebelum lakukan apa-apa transaksi, hubungi nombor 997 atau terus ke balai polis untuk membuat semakan tentang nombor akaun syarikat berkenaan sama ada pernah menerima aduan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Hari Keselamatan Siber Negeri Melaka mewakili Ketua Menteri di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua ICT Negeri Melaka Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK), Fauzi Elham@Alhim; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd Kassim; Pengurus Besar Telekom Malaysia (TM) Melaka, Datuk Rozlan Mohamed dan lain-lain kenamaan.

Program anjuran BTMK Jabatan Ketua Menteri Melaka itu menerima kehadiran seramai 100 peserta daripada pelbagai agensi Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata setakat semalam (25 September), Negeri Melaka merekodkan jumlah jenayah siber sebanyak 1,359 kes dengan nilai kerugian bernilai RM30.5 juta.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan yang ketara kerana tahun 2022 hanya RM26.98 juta nilai kerugian direkodkan iaitu melibatkan sebanyak 1,109 kes.

“Peningkatan ini amat mendadak dan kita perlu bekerjasama dengan semua agensi termasuklah jabatan penerangan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Negeri dan lain-lain agensi.

“Sebagai exco yang bertanggungjawab, saya dah berbincang bersama jabatan terlibat dan semua syarikat telco untuk sama-sama fikir bagaimana kesedaran jenayah siber ini dapat diperluaskan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2205
Kongsi :
Previous post Penugasan zaman komunis pengalaman berharga
Next post Boleh jimat RM140 sebulan dengan bertani
Ubah saiz-+=