Ingkar arahan Mahkamah Buruh, bengkel kereta nyaris kena lelong

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 26 Jan – Akibat ingkar perintah Mahkamah Buruh, harta sebuah syarikat bengkel kenderaan nyaris dilelong Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka.

Pengarah JTK Melaka Johana Bakar berkata, bengkel tayar dan kereta di daerah Melaka Tengah itu sebelum ini diarah menyelesaikan bayaran penuh perintah mahkamah berjumlah RM23,493.26 kepada seorang pekerjanya yang ditamatkan perkhidmatan tanpa mengikut undang-undang perburuhan negara.

Katanya, kes yang dibawa ke Mahkamah Buruh itu berpihak kepada pekerja berkenaan selepas pihak syarikat gagal mengemukakan alasan munasabah memberhentikan pekerja berkenaan dan diarah membuat pembayaran pada 22 Feb tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, syarikat berkenaan didapati masih ingkar dengan arahan tersebut menyebabkan JTK Melaka dan Bailif Mahkamah Sesyen Melaka telah melaksanakan tindakan Writ Penyitaan dan Penjualan ke atas syarikat tersebut.

“Tindakan pelaksanaan untuk melevi dan melelong harta syarikat telah dilaksanakan hari ini (26 Jan) bertempat di premis majikan yang merupakan sebuah bengkel tayar dan membaiki kenderaan di negeri ini.

JTK Melaka dan Bailif Mahkamah Sesyen Melaka telah melaksanakan tindakan Writ Penyitaan dan Penjualan membabitkan sebuah bengkel kenderaan di daerah Melaka Tengah.

“Perlaksanaan writ telah dilaksanakan pada jam 10 pagi.

“Pada jam 12.30 tengah hari syarikat tersebut akhirnya terpaksa akur dan menyelesaikan bayaran penuh perintah Mahkamah Buruh sebanyak RM23,493.26 kepada pekerja berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, majikan di negeri ini diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang perburuhan negara bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan dijalankan terhadap mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1632
Kongsi :
Previous post FAM teliti 10 nama sebagai pembantu Pan Gon
Next post Dua pelajar Melaka sah positif varian Omicron
Ubah saiz-+=