Inisiatif parkir masjid jana pendapatan bantu kariah

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PENGKALAN BATU 21 Ogos – Inisiatif Koperasi Pengkalan Batu Berhad (KOPABA) di bawah Masjid Nur Sa’adah Pengkalan Batu, yang memanfaatkan kawasan parkir masjid membuahkan hasil apabila mampu menjana pendapatan lumayan.

Pengerusi masjid yang juga Pengerusi KOPABA Datuk Amzah Osman berkata, daripada aktiviti perniagaan yang dijalankan di ruangan kawasan parkir itu ia bukan sahaja memberi manfaat buat 190 ahlinya apabila menerima dividen tetapi juga kepada masjid yang menerima 30 peratus daripada hasil pendapatan.

Beliau berkata, meskipun ruangan yang ada terhad namun ia dimanfaatkan sepenuhnya dengan mewujudkan kawasan parkir untuk pekerja kilang berhampiran meletakkan kenderaan selain membina 16 tapak niaga dalam kawasan masjid.

“Awalnya agak sukar untuk laksanakan tetapi dengan kerjasama dan sokongan semua termasuk lembaga serta kariah masjid kita dapat mewujudkan koperasi sekaligus dapat menambah wang dalam tabung masjid.

“Usaha ini dibuat kerana kita mahu jadikan masjid ini sebagai tempat sehenti yang mana bukan sahaja orang datang untuk mencari ilmu akhirat tetapi juga dapat merancakkan ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Hari Bertemu Pelanggan Coop Mart KOPABA dan majlis penyampaian hadiah cabutan bertuah di Masjid Nur Sa’adah Pengkalan Batu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pengkalan Batu, Md Derus Tompang berkata, dengan adanya pusat niaga di kawasan itu ia dapat meningkatkan ekonomi sekali gus membantu menyalurkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

“Apabila ada pendapatan sendiri, kita dapat bantu mereka yang susah dan hasrat kita juga untuk membasmi kemiskinan dalam kawasan JPKK Pengkalan Batu.

“Setakat ini sebanyak 72 buah keluarga terdiri dalam kalangan golongan B40 dan asnaf diberikan barangan keperluan harian dianggarkan bernilai RM200 pada setiap bulan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1132
Kongsi :
Previous post Hampir ‘rebah’, anak peneroka penuntut terbaik
Next post Pesara SAMB maut dalam nahas tiga kenderaan
Ubah saiz-+=