Pesara SAMB maut dalam nahas tiga kenderaan
DURIAN TUNGGAL 21 Ogos – Pesara Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bukit Balai, Durian Tunggal, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi itu, mangsa Yusup Kasim, 66, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala manakala pemandu wanita dua buah kereta masing-masing berusia 38 dan 48 tahun tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan itu membabitkan motosikal mangsa jenis Honda Dash dan dua lagi kereta jenis Perodua Alza dan Perodua Myvi.
Beliau berkata, sebelum kemalangan mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah pekan Durian Tunggal menghala ke Gangsa manakala dua buah kenderaan lagi yang dipandu guru wanita dari arah bertentangan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang tiba di lokasi kejadian dikatakan gagal mengawal motosikalnya dan masuk ke laluan bertentangan.
“Akibat daripada itu, motosikal mangsa kemudian bergesel pada bahagian kanan Perodua Alza yang kebetulan melalui lokasi kejadian sebelum berlanggar juga dengan Perodua Myvi yang berada di belakang,” katanya.
Menurutnya, akibat daripada pelanggaran itu, mangsa tercampak ke laluannya semula sebelum disahkan meninggal dunia.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat manakala pemandu kereta yang terbabit kemalangan itu dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
“Kesemua kenderaan yang terbabit kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi pemeriksaan lanjut,” katanya.
Ujar Arshad, kedua-dua pemandu wanita berkenaan sudah diminta hadir ke Balai Trafik Alor Gajah untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.