Insiden pokok tumbang: Kenapa MBMB dipersalahkan?

0
865
INSIDEN pokok tumbang di Pulau Gadong bukan berada di bawah tanggungjawab MBMB sebaliknya individu.

AYER KEROH 10 Sept – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kesal dengan kenyataan segelintir individu yang menyalahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam insiden rumah dan premis menjual ikan laga dihempap Pokok Tunjuk Langit di Pulau Gadong, semalam.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, pihaknya tidak harus dipersalahkan dalam kejadian itu memandangkan pokok berkenaan milik individu dan bukannya berada di bawah bidang kuasa PBT.

Beliau berkata, pokok-pokok yang berada di bawah tanggungjawab PBT hanyalah pokok yang berada di tepi jalan, di dalam kawasan taman perumahan dan susur jalan masuk ke taman perumahan sahaja.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu

“Yang berlaku di Pulau Gadong itu ialah pokok yang jaraknya 50 meter dari jalan dan sifatnya ialah pokok ynag berada dalam kawasan kediaman atau pinggir kediaman di kawasan kampung.

“Kalau kita tanam pokok namun tidak dikawal ketinggiannya dan bila sudah besar takut pokok itu menghempap rumah, pemilik perlulah melantik syarikat untuk membuat cantasan atau penebangan.

“Kita tak mahu kelirukan masyarakat dalam hal seperti ini kerana ia bukan pokok di tepi jalan yang menjadi tanggungjawab PBT. Kalau pokok itu berada dalam kawasan rumah, ia tanggungjawab individu,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Zainal mengakui terkilan apabila kenyataan tidak bertanggungjawab itu dikeluarkan oleh seorang bekas pegawai kerajaan dan pernah bekerja bersama PBT.

Katanya, tindakan tersebut bukan sahaja mengelirukan, bahkan dianggap seperti sengaja meletakkan kegagalan di bahu PBT.

Dalam pada itu, Zainal memaklumkan, MBMB tidak pernah lepas tangan terhadap segala isu membabitkan pokok-pokok besar di dalam kawasan pentadbirannya.

Jelasnya, setakat ini sebanyak 80 hingga 100 batang pokok telah dipantau MBMB terutama membabitkan pokok yang berusia dan kestabilannya meragukan.

“Tindakan yang dilakukan ialah kita menjalankan kerja-kerja penebangan dan mencantas bagi merendahkan ketinggian pokok.

“Bagi pokok-pokok warisan pula, kita akan menjalankan kerja merawat akar dan sebagainya supaya kita dapat memperbaiki strukturnya agar tidak mudah tumbang,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.