‘Insp Farid’ tipu kutip bayaran bebaskan tahanan lokap

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

ALOR GAJAH 9 Dis – Polis menahan seorang lelaki di rumahnya di Kampung Sungai Ragok, Ayer Paabas, di sini, semalam selepas dipercayai menyamar sebagai anggota polis dan terbabit kes penipuan urusan membebaskan tahanan dari lokap Balai Polis Alor Gajah dalam kejadian 22 Nov lalu.

Lelaki berusia 33 itu di tahan kira-kira jam 6 petang semalam oleh sepasukan Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Suprintendan Arshad Abu berkata berdasarkan maklumat yang diterima, suspek menyamar sebagai pegawai polis dengan memperkenalkan dirinya sebagai ‘Insp Farid’ kepada waris tahanan lokap dan meminta wang RM7,000 untuk melepaskan tahanan.

“Insp Farid memeras ugut waris untuk menyelesaikan satu kes narkotik membabitkan abang waris yang ditahan, dengan menyatakan boleh membantu waris (pengadu) melepaskan abangnya dengan membayar wang sebanyak RM7,000 dan tidak akan dituduh di Mahkamah.

“Akibat terdesak untuk membebaskan abangnya, waris telah menyerahkan wang kepada suspek pada 22 Nov lalu di luar pagar Balai Polis Alor Gajah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, waris menyedari tertipu apabila mendapati abangnya telah dituduh di Mahkamah pada 2 Dis lalu dan cuba hubungi suspek namun gagal sehinggalah laporan dibuat semalam.

“Bertindak atas laporan itu, suspek ditahan dirumahnya dan dalam pemeriksaan rumah, polis menemui dan merampas sepucuk pistol mainan, satu sarung Holster warna hitam, tali lanyard, dua butir peluru, satu kelopak senjata SMG HK MP5.

“Turut ditemui, sebuah buku log Cawangan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan buku nota Cawangan Risikan Jenayah Berat (D9) IPK Melaka,” katanya.

Mengulas lanjut, suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan Prosedur Jenayah selama tujuh hari sehingga 15 Disember depan.

“Suspek direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 384/170 Kanun keseksaan, Seksyen 8 dan Seksyen 35 Akta Senjata 1960 yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun dan denda dan boleh dihukum penjara dari sehingga 10 tahun dan denda tujuh sebatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1295
Kongsi :
Previous post Pernah ‘jatuh’ bukan penghalang bangkit jadi graduan terbaik
Next post Polis buru A. Mari Muthu
Ubah saiz-+=