Pernah ‘jatuh’ bukan penghalang bangkit jadi graduan terbaik

Masa Membaca:2 Minit, 32 Saat

DURIAN TUNGGAL 9 Dis – Memperoleh keputusan kurang baik dalam program Asasi Kejuruteraan ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM) beberapa tahun lalu tidak mematahkan semangat seorang anak gadis dari Selangor menerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Nurin Aris, 24 menerima anugerah tersebut daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam selaku Canselor UTeM pada Majlis Konvokesyen UTeM Ke -16 di Dewan Canselori UTeM, hari ini.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Teknousahawan Dengan Kepujian itu berkata, kecewa dengan hanya memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) bawah 3 pada tahun 2015-2016, namun dorongan dan sokongan ibu bapa akhirnya dia bangkit untuk mencapai kejayaan hari ini.

“Tiada rahsia untuk berjaya tapi paling utama adalah sokongan dan dorongan daripada kedua ibu bapa saya sebab saya pernah berada di bawah sebelum ini.

“Tanpa ibu bapa dan keluarga saya takkan berada di sini hari ini, satu perkara yang selalu saya cakap…kenali diri sendiri, kenali cara dan belajar jangan ikut orang because you know are (sebab kita tahu siapa kita) bila tahu siapa diri kita, kita boleh ke hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut.

NURIN Aris (tengah) berkongsi kegembiraan bersama ibunya, Nor Azmah Othman, 51, (kanan) dan bapanya, Aris Tusimin, 51, (kiri) selepas menerima Anugerah Pelajaran Diraja serta menerima nombor plat eksklusif pada Majlis Konvokesyen Ke – 16 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Melaka. Foto: MR. Azli

Anak sulung daripada tiga beradik ini turut menyimpan impian untuk bergelar seorang usahawan tudung.

Nurin juga kini sedang melanjutkan pelajaran bagi Peringkat Sarjana Sains (Teknologi) di UTeM.

Manakala Chuan Chuan You, 24, dari Fakulti Teknologi Maklumat Komunikasi (FTMK) turut menerima anugerah yang sama sekali gus menjadi kebanggaan kepada ibu bapanya.

“Saya rasa bersyukur dapat anugerah diraja ini, untuk dapat anugerah ini saya sertai banyak pertandingan di universiti, saya pernah mewakili UTeM dalam pertandingan peringkat nasional dan selepas itu ke peringkat ASEAN dan antarabangsa.

“Rahsia untuk berjaya tak banyak cuma kita kena buat dengan semangat, lepastu bagi 100 peratus fokus dan usaha kita,” katanya yang merupakan anak kedua dari tiga beradik yang berasal dari Johor Bharu.

YANG di-Pertua Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam (kiri) menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pengurusan Pangkalan Data) dengan kepujian, Chuan Chuan You pada Majlis Konvokesyen Ke – 16 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Melaka. Foto: MR. Azli

Selain Nurin dan Chuan You, tiga lagi graduan turut menerima anugerah sama iaitu Ooi Wei Zheng (Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Automasi, Industri dan Robotik)); Eleeza F Natasya Khairul Herman (Ijazah Sarjana Muda Teknousahawanan) dan Dr Nor Ayuma Mat Tahir (Ijazah Doktor Falsafah dalam Kejuruteraan Mekanikal).

Pada majlis itu UTeM turut menyampaikan anugerah kepada 18 Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) Negeri Melaka yang menerima Sarjana Pentadbiran Perniagaan dengan Pengkhususan Pengurusan Teknologi & Inovasi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2122
Kongsi :
Previous post Teratai tasik jadi tarikan terbaharu di Taman Rekreasi Bukit Beringin
Next post ‘Insp Farid’ tipu kutip bayaran bebaskan tahanan lokap
Ubah saiz-+=