Inspirasi Malaysia Madani diterapkan dalam PSMJ 2035 versi ketiga
KUALA LUMPUR 16 Februari – Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035 yang memasuki versi ketiga kali ini perlu membawa inspirasi Malaysia Madani bagi mencapai hasrat yang direncanakan.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari berkata perancangan PSMJ 2035 mesti menerapkan beberapa aspek iaitu Alam Sekitar, Sosial DanTadbir Urus (ESG) berpandukan kepada Kemampanan Matlamat Pembangunan (SDG).
“Pembangunan yang ingin kita kecapi perlulah mengambil kira aspek penggunaan sumber yang bijaksana dan memastikan pemuliharaan terhadap alam sekitar, pembangunan sosial, sahsiah dan impak kepada komuniti serta memantapkan tadbir urus dan tatakelola.
“Gagasan Masyarakat Madani adalah melahirkan Malaysia yang maju dan tinggi tamadunnya. Kemajuan ini bukan dinilai dari segi kebendaan atau ekonomi semata-mata, tetapi lebih penting kemajuan dari segi pemikiran dan peradaban,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan pembukaannya pada Konvensyen Hala Tuju Pembangunan Negeri Melaka 2023 diadakan di sebuah hotel di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Hadir sama, Barisan Exco Kerajaan Negeri, Ketua dan Wakil agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Dalam pada itu, Zaidi berkata, menerusi PSMJ 2035 pelbagai perkara yang dirancang perlu diperincikan melalui polisi, program atau projek bagi menyelesaikan isu permasalahan rakyat meskipun versi PSMJ 2035 sebelum ini yang merangkumi 22 strategi, 102 ‘quick wins’ dan 29 ‘symbolic actions’ telah mencapai peningkatan sebanyak 95 peratus.
“Di dalam konteks versi kedua, PSMJ2035 masih mengekalkan lapan ‘flagship’ namun digarap dan ditambah baik berdasarkan portfolio Exco Kerajaan Negeri dengan 44 strategi, 237 buah program dan projek dan 491 petunjuk prestasi utama (KPI) bagi memastikan negeri Melaka di dalam landasan yang betul berdasarkan situasi dan peredaran semasa.
“Dasar-dasar ini adalah komprehensif dan tidak statik, ianya perlu dipantau secara berkala di dalam setiap Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Setiap strategi dan pelan tindakan yang dirangka menjadi garis panduan dan merupakan KPI serta ‘report card’ bagi setiap exco mengikut portfolio masing-masing. Sistem Melaka Laksana telah pun dibangunkan untuk membolehkan pelan tindakan yang digariskan dapat dipantau dengan lebih efektif,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.