Isu jenaka rogol di sekolah tidak boleh dipandang remeh, tindakan tegas wajar diambil

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

PUTRAJAYA 29 April. – Perbuatan seorang guru yang didakwa membuat jenaka berhubung isu rogol sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran tidak boleh dianggap remeh dan wajar dikenakan tindakan tegas jika terbukti berlaku, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata perkara itu dipandang serius dan tindakan sedemikian adalah perbuatan yang tidak profesional.

Katanya sebagai orang dewasa, kita perlu mempunyai kesedaran mengenai batas percakapan terutama ketika berkomunikasi agar emosi kanak-kanak yang sedang mengikuti sesi pembelajaran tidak terganggu dengan akhlak dan perlakuan guru mereka.

“Dalam apa jua situasi sekalipun, perkara sedemikian tidak seharusnya dijadikan sebagai bahan jenaka kerana perbuatan rogol itu adalah perbuatan jenayah yang sama sekali tidak wajar menjadi satu galakan kepada anak murid,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rina berkata jenaka berunsur seksual seperti rogol dan mempersenda fizikal harus dihentikan apatah lagi merujuk contoh yang tidak sesuai dalam aspek memberikan kesedaran tentang gangguan seksual terhadap pelajar di sekolah mahupun kepada masyarakat secara umumnya.

“Tindakan seperti ini termasuk perlakuan menyalahkan mangsa adalah amat tidak wajar dinormalisasi kerana ia memberikan satu mesej tidak sihat kepada masyarakat dan dikhuatiri akan menyumbang kepada perlakuan jenayah,” katanya.

Rina berkata kanak-kanak seharusnya berada di dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif, selamat, bebas dan dilindungi daripada sebarang ancaman termasuk gangguan seksual serta eksploitasi.

“Dalam hal ini, tindakan sewajarnya perlu diambil mengikut garis panduan dan peraturan yang berkuat kuasa bagi setiap kes diperakukan kesahihannya.

“Sesungguhnya pihak kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan melibatkan gangguan seksual dan pelanggaran hak serta kebajikan kanak-kanak. Tindakan tegas perlu diambil kepada pesalah yang terlibat dengan sebarang salah laku yang melibatkan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sedang mengkaji secara menyeluruh Dasar Kanak-Kanak Negara dengan menitikberatkan supaya golongan itu bebas daripada segala unsur negatif melalui langkah advokasi, pencegahan dan khidmat sokongan.

“Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual juga sedang digubal dan dalam penelitian akhir pihak kerajaan untuk memastikan penguatkuasaan akta dan peraturan yang lebih baik dapat dilaksanakan,” katanya sambil menambah bahawa kementerian itu terus komited bagi meningkatkan kesedaran melalui kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha melindungi hak kanak-kanak dan menangani isu gangguan seksual.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

607
Kongsi :
Previous post Saifuddin positif COVID-19
Next post MUFC ‘tempang’ hadapi Kedah FC di Jebat
Ubah saiz-+=