Isu kalimah Allah: Perlu ada kaedah lain untuk bantah- KM

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

LENDU 13 Mac – Perlu ada pendekatan lain sekiranya mahu menzahirkan ketidakpuasan hati terhadap isu agama dan bukannya melalui perhimpunan khususnya ketika negara berdepan tempoh pasca penularan pandemik COVID-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali berkata, pihaknya turut bersetuju dengan bantahan ramai pihak terhadap penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.

“Memang kita (pun) bantah tapi dalam tempoh sukar ini bantahan boleh dibuat dengan kaedah lain dan kita tidak benarkan dalam kumpulan yang besar.

“Tapi penganjuran (bantahan) ini kita harap ia ikut saranan yang telah ditentukan pihak berkuasa, jika mereka tidak benarkan lebih elok tak payah buat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Ziarah Kasih Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, di sini sebentar tadi.

Sebelum ini, sebuah pertubuhan Islam mengumumkan akan mengadakan satu himpunan membabitkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam untuk membantah penggunaan kalimah Allah dalam kalangan penganut bukan Islam.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain, dalam penerbitan agama itu dijadikan untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.

Keputusan kes itu mengambil masa selama 13 tahun dua bulan sejak difailkan pada 2008.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

446
Kongsi :
Previous post Melaka rancang jalinan antara negeri tingkat acara kebudayaan
Next post UMNO Melaka bersedia 100 peratus
Ubah saiz-+=