Isu kiblat masjid lama tersasar selesai sepenuhnya

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

TANJUNG BIDARA 21 Mei – Isu arah kiblat tersasar membabitkan masjid lama berusia melebihi 100 tahun di Negeri Melaka sudah diselesaikan dan diperbetulkan.

Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, penentuan arah kiblat di kesemua masjid berkenaan dilakukan dengan bantuan kelengkapan canggih yang ada ketika ini.

“Alhamdulillah isu masjid lama yang tersasar dari arah kiblat ini telah diselesaikan secara menyeluruh di Negeri Melaka. Masjid lama ini dibina 100 tahun lalu, ketika itu tidak ada peralatan canggih atau agensi yang mengawal selia perkara itu seperti sekarang.

“Orang zaman dahulu berijtihad mengikut keperluan dan kemampuan mereka, jadi kini menerusi Jabatan Mufti negeri kita sedia membuka permohonan daripada mana-mana pihak untuk kita laksanakan semakan dan penentuan arah kiblat dengan lebih tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Program Cerapan Langit Malam dan Astro-Tourism dan Himpunan Komuniti Falak Peringkat Negeri Melaka di Kompleks Falak, Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu Tanjung Bidara, di sini, semalam.

Program sarat dengan pelbagai aktiviti sejak pagi itu dirasmikan oleh Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah, hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Wira Md Rawi Mahmud.

Abdul Halim berkata, premis persendirian mahupun komersial seperti surau, masjid, pejabat, pusat beli-belah, kilang, hotel dan resort boleh memohon untuk melakukan semakan arah kiblat dengan kadar caj antara RM100 hingga RM200 sahaja.

“Pengesahan arah kiblat yang betul memberi keyakinan kepada kita untuk menunaikan ibadah dengan memastikan dada dan wajah benar-benar ke arah kiblat terutama ketika menunaikan solat,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan 28 daripada 55 masjid warisan, khususnya yang berusia lebih 100 tahun di negeri ini didapati tersasar antara tiga hingga 18 darjah dari arah kiblat sebenar.

Perkara itu dikesan hasil pemeriksaan berperingkat dilaksanakan pihak Jabatan Mufti Negeri Melaka sejak empat tahun lalu melalui kolaborasi dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1195
Kongsi :
Previous post Impian miliki rumah sendiri jadi nyata
Next post Mayat dalam tangki najis: Polis sedang kesan lapan suspek rakan serumah
Ubah saiz-+=