Sorting by

×

Isu Pangsapuri Sutera Wangi akan diangkat ke peringkat KPKT

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 24 November – Isu yang dihadapi kira-kira 2,000 penduduk Pangsapuri Sutera Wangi di Batu Berendam mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.

Menurut Chee Yee ketika dihubungi, beliau telah memberi dua cadangan kepada wakil pengurusan Pangsapuri Sutera Wangi.

“Langkah segera saya cadangkan wakil pengurusan untuk berunding semula dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya satu skim bayaran ansuran boleh dicapai.

“Pihak pengurusan perlu juga mengambil kira faktor kegagalan pihak pengurusan terdahulu untuk mematuhi perjanjian bayaran ansuran sebelum ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Chee Yee turut memberikan cadangan untuk jangka masa panjang di mana pihak pengurusan terkini perlu mengkaji semula kaedah kutipan fi bulanan serta kadar fi bulanan supaya ada pendapatan yang mencukupi.

“Pihak pejabat Adun Ayer Keroh telah melakukan apa yang mampu sejak tahun 2019, namun permasalahan ini tidak dapat diselesaikan selagi tiada cara penyelesaian di peringkat pengurusan pangsapuri dalam konteks pematuhan perjanjian bayaran ansuran.

“Kita juga minta untuk pihak pengurusan pangsapuri mengkaji semula kaedah kutipan fi bulanan serta kadar fi bulanan supaya ada pendapatan yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan pangsapuri, termasuk bil elektrik,” katanya.

Dalam pada itu, media turut mendapatkan reaksi daripada Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim mengenai isu terbabit.

Jelas Adam Adli ringkas, pihaknya telah memohon kepada TNB untuk memberi makluman kepadanya sekiranya ada jalan penyelesaian yang boleh dicapai.

“Perjumpaan dengan penduduk baharu dibuat pada Ahad lepas. Perkara ini sudah saya panjangkan kepada EXCO Kerajaan Negeri terlibat dan akan dibawa kepada Kementerian Tenaga dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1438
Kongsi :
Previous post Peruntukan lebih besar untuk kesihatan pada Bajet 2024
Next post TAPEM sasar Melaka atasi rekod cemerlang Terengganu
Ubah saiz-+=